KUALA LUMPUR, 29 Mei – Malaysia menyerlah sebagai destinasi utama pilihan pelabur yang mahu memanfaatkan industri elektrikal dan elektronik (E&E) yang berkembang pesat di rantau ini, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menerusi kenyataan bersama hari ini, MIDA serta Invest Selangor Bhd dan SEMICON Asia Tenggara berkata pada 2023, sektor pembuatan Malaysia berjaya menarik pelaburan diluluskan bernilai RM152 bilion dengan sebahagian besarnya diraih industri E&E yang berjumlah RM85.4 bilion.

“Malaysia di kedudukan keenam peringkat global bagi eksport semikonduktor serta berperanan penting dalam rantaian bekalan E&E dunia.

“Malah, Malaysia menyumbang tujuh peratus daripada perdagangan semikonduktor global dan 13 peratus bagi kegiatan pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip global,” katanya.

Memperincikan selanjutnya, MIDA berkata enam daripada 12 syarikat semikonduktor terbesar kini beroperasi di Malaysia, sekali gus membuktikan kepentingan strategik serta daya tarikan negara sebagai hab bagi pemain utama industri.

Selain itu, sebagai reaksi terhadap minat yang terus ketara ini, acara SEMICON Asia Tenggara 2024 menampilkan INVEST@Southeast Asia Pavilion, platform dinamik bagi agensi atau organisasi pelaburan untuk berhubung dengan pelabur berpotensi yang berminat untuk meninjau peluang di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata agensi itu gigih dalam komitmen untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan, khususnya dalam industri E&E yang berkembang pesat.

“Bersandarkan dasar-dasar mesra pelabur, infrastruktur mantap dan kelompok bakat atau tenaga kerja berkemahiran tinggi, Malaysia menawarkan persekitaran ideal untuk perniagaan yang mahu mewujudkan dan meluaskan lagi kehadiran di Asia.

“Inovasi seperti teknologi nanometer, bahan semikonduktor baharu, proses berteraskan kelestarian, kecerdasan buatan (AI) dan ciri-ciri dipacu Internet Kebendaan (IoT) telah dipertingkat dan mendapat momentum yang ketara di sini,” katanya.

Malah, Sikh Shamsul Ibrahim berkata sebagai peneraju global, adalah penting untuk terus kekal di barisan utama dan persekitaran sokongan Malaysia dapat melonjakkan usaha bagi mencapai matlamat berkaitan.

“Kami amat teruja dalam aspirasi ini dan berharap dapat menonjolkan kedudukan Malaysia sebagai hab strategik bagi inovasi serta pelaburan di acara SEMICON Asia Tenggara 2024,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Datuk Hasan Azhari Idris berkata negeri itu menawarkan pelbagai peluang pelaburan selain menjadi tempat yang tepat untuk bekerja dan meneruskan hidup.

“Pertumbuhan ekonomi yang kukuh didorong oleh sumber semula jadi yang meluas, hubungan darat, laut serta udara bertaraf dunia dan pengkomersialan bandar yang tiada tandingan – ekosistem komersial yang serba maju,” katanya.

Presiden SEMI Asia Tenggara Linda Tan pula menyifatkan kerjasama serta dedikasi MIDA dan Invest Selangor dalam memacu peluang pelaburan di SEMICON Asia Tenggara 2024, berperanan penting dalam menarik kalangan peserta menyertai acara itu.

“Kami yakin sokongan padu ini membolehkan SEMICON Asia Tenggara 2024 menjadi platform dinamik bagi pemimpin industri, penginovasi dan pihak berkepentingan untuk saling bertukar idea dan meneroka trend serta peluang terkini dalam industri elektronik,” katanya.

SEMICON Asia Tenggara 2024 yang berlangsung pada 28-30 Mei, 2024 di MITEC di sini, bertemakan ‘Boosting Agility and Resiliency of the Global Electronics Supply Chain’ atau Memacu Ketangkasan dan Daya Tahan Rantaian Bekalan Elektronik.

Acara itu turut menampilkan dua perbincangan meja bulat iaitu Forum Pasaran dan Trend Industri – COLLABORATE@Southeast Asia dan Bergerak Maju – Memperkukuh Kedudukan Malaysia dalam Rantaian Nilai E&E Global.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here