BUTTERWORTH, 4 Jun – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan membentangkan kertas kerja berhubung cadangan pembinaan Projek Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua kepada Kabinet untuk kelulusan tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata projek itu melibatkan cadangan pembinaan lebuh raya sepanjang 15 kilometer (km) dan ia dijangka akan menelan belanja RM1.8 bilion.

Beliau berkata bancian serta kajian berkaitan projek itu telah selesai dilakukan oleh pihak Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) tahun lepas dan dibentangkan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Februari untuk penelitian.

“Sekarang ini kita sudah masuk proses kedua, proses pertama adalah permohonan daripada kerajaan negeri kepada kerajaan pusat, kedua cadangan PLUS kepada UKAS dan ketiga selepas ini adalah keputusan Kabinet. 

“Februari lepas PLUS bentangkan kepada UKAS mengenai cadangan pembinaan lebuh raya bertingkat sepanjang 15km dan setelah dimuktamadkan antara kedua-dua pihak, langkah seterusnya di peringkat KKR selepas ini adalah, kita akan buat penyusulan dengan mengangkat kertas kerja ke mesyuarat Kabinet yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Seminar Jalan Bandar @Penang 2024 di Butterworth Arena, di sini hari ini yang dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Ahmad berharap projek itu akan diluluskan bagi membolehkan pembinaannya dilaksanakan secepat mungkin, seterusnya memberikan penyelesaian jangka masa panjang terhadap isu kesesakan memandangkan ia merupakan masalah utama yang perlu diatasi.

Katanya projek itu nanti bukan saja akan dinikmati oleh pengguna jalan raya di Pulau Pinang, malah ia akan turut memanfaatkan pengguna lain terutama negeri yang bersempadan.

Sementara itu Chow berterima kasih kepada Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Anwar yang memahami kesulitan dihadapi pengguna jalan raya yang terpaksa mengharungi kesesakan di kawasan itu terutama pada waktu puncak.

“Projek ini akan memakan masa beberapa tahun untuk disiapkan dan berkemungkinan akan berdepan dengan pelbagai cabaran memandangkan ia akan dibina di atas lebuh raya sedia ada. Bagaimanapun kita amat bersyukur ia akhirnya akan dapat direalisasikan,” katanya.

Sebelum ini Chow memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar melaksanakan projek Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua, berikutan keadaan aliran trafik yang semakin mendesak, malah perkara itu telah dibangkitkan kepada Perdana Menteri dalam Taklimat Pembangunan Pulau Pinang di Komtar April lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here