PUTRAJAYA, 7 Jun – Malaysia dan Ghana pada Khamis membincangkan hubungan dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk pemilihan Setiausaha Agung Komanwel yang akan datang pada Oktober, kata Kementerian Luar (Wisma Putra).

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan perbincangan itu berlaku semasa pertemuan antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar dan Integrasi Serantau Ghana, Shirley Ayorkor Botchwey yang sedang dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula hari ini.

“Perbincangan tertumpu kepada pencalonan beliau (Botchwey) dalam pemilihan Setiausaha Agung Komanwel yang akan berlangsung pada Okt 2024,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata ini merupakan lawatan pertama Botchwey ke Malaysia sejak dilantik sebagai Menteri Luar dan Integrasi Serantau Ghana pada Jan 2017.

Menurut kenyataan itu, Ghana merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di Afrika pada tahun 2023 dengan jumlah perdagangan bernilai RM2.08 bilion dan lebihan dagangan sebanyak RM15.45 juta berpihak kepada Malaysia.

Peningkatan perdagangan ini menunjukkan potensi hubungan ekonomi dan kepentingan bersama yang mempertingkatkan hubungan dua hala. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here