PUTRAJAYA, 9 Jun – Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung  ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika mengumumkan perkara itu berkata ia adalah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism. 

Beliau berkata dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar, ia dapat memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

“Keputusan penyasaran subsidi (oleh kerajaan) bukan langkah mudah malah ia diberi perhatian khusus. Kita mahu hentikan ketirisan yang merugikan rakyat dan negara, tahun demi tahun kita tanggung kerugian besar dan boleh merencatkan ekonomi negara,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Perutusan Negara yang disampaikan pada 21 Mei lepas menyatakan Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel, sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.

Bagaimanapun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

Amir Hamzah berkata untuk tempoh seterusnya harga diesel akan diumumkan setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan, dan kerajaan akan terus memantau keadaan bagi mengelak ketidakstabilan harga.

Beliau berkata subsidi diesel meningkat 10 kali ganda dari RM1.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM14.3 bilion tahun lepas.

Mengenai landskap subsidi diesel di Malaysia, Menteri Kewangan II itu berkata dengan jumlah subsidi diesel yang besar diberi oleh kerajaan ketika ini, harga runcit diesel di Malaysia menjadi antara yang terendah di dunia.

Untuk rekod, harga diesel di Malaysia dijual pada empat harga yang berbeza mengikut subsidi iaitu RM1.65 bagi nelayan; RM1.88 bagi pengangkutan awam darat; RM2.15 bagi kenderaan komersial dan persendirian, serta harga pasaran tanpa subsidi bagi sektor komersial yang pernah mencecah RM3.60 awal tahun ini.

Amir Hamzah berkata pada masa yang sama harga di negara jiran lebih tinggi, kira-kira RM4 di Thailand, RM4.50 di Indonesia malah hampir mencecah RM9 di Singapura, dan keadaan ini mengundang penyeludupan ke negara jiran serta penyelewengan ke sektor komersil yang tidak layak menggunakan diesel bersubsidi.

Beliau seterusnya mengulangi bahawa penjimatan yang diperoleh kerajaan daripada langkah penting itu akan memastikan terdapat lebih banyak sumber untuk disalurkan ke dalam sektor kritikal lain yang secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Justeru beliau berkata melalui penyasaran subsidi, kegiatan penyeludupan dan penyelewengan tidak lagi menjadi suatu aktiviti yang lumayan, dan secara logiknya dapat dikurangkan secara drastik.

“Saya ingin tegaskan bahawa apa yang dilakukan Kerajaan hari ini adalah menyasarkan semula subsidi untuk golongan yang benar-benar layak sahaja. Kita mahu menghentikan ketirisan yang amat merugikan rakyat dan negara.

“Tahun demi tahun, kita menampung kerugian besar dan ini boleh merencat kemakmuran yang sepatutnya menjadi milik kita. Ini satu keputusan Kerajaan mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here