SEMATAN, 9 Jun – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti keperluan menjalankan ujian penilaian psikometrik secara tahunan kepada pengusaha dan pengasuh taska berdaftar, kata menterinya Datuk Seri Nancy Shukri. 

Beliau berkata dengan mengemas kini keputusan ujian psikometrik, ia membolehkan pihaknya mengetahui tahap kesihatan terkini pekerja bidang taska, khususnya kesihatan mental mereka yang menjadi antara aspek penting dalam mengendalikan golongan kanak-kanak.

“Dalam pada kita nak naik taraf sistem, kita juga menyeru kepada mereka yang hendak menghantar anak supaya semak dahulu sama ada taska itu berdaftar atau tidak di bawah kementerian sebelum menghantar anak mereka ke situ,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Siri Satu dan Sambutan Hari Denggi Asean Bahagian Kuching di Kampung Pueh di sini hari ini. 

Ujian psikometrik dijalankan sebagai instrumen mengukur personaliti, kesihatan dan kesejahteraan diri, kompetensi emosi serta pengurusan konflik bagi mengukur kemampuan calon dalam memastikan prestasi baik dalam pekerjaan.

Di Malaysia, penilaian psikometrik diwajibkan hanya sekali sebagai ujian peringkat kemasukan kepada golongan yang mahu terlibat dalam bidang taska. 

Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Siri Satu itu bertujuan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif kepada warga penduduk di kawasan berkenaan.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang dan ADUN Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here