SIBU, 10 Jun – Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA) sedang merangka pelan tindakan dan menyenaraikan projek-projek pembangunan untuk dilaksanakan di wilayah tersebut melalui Bengkel Strategi Pembangunan 2030 selama tiga hari di sini bermula hari ini.

Pengerusi MiRRDA merangkap Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata bengkel anjuran MiRRDA dengan kerjasama Jabatan Premier Sarawak yang disertai 140 peserta itu akan menentukan hala tuju pelan tindakan dan projek-projek pembangunan berkenaan.

Peserta bengkel terdiri daripada wakil 11 kementerian, 10 jabatan kerajaan negeri, 44 jabatan dan agensi bahagian dan ketua-ketua masyarakat dari empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, perancangan mengadakan bengkel berkenaan dibuat lebih dari setahun sebaik sahaja MiRRDA menerima peruntukan sebanyak RM1.5 bilion daripada Kerajaan Sarawak pada tahun 2022 bagi membiayai aktiviti-aktivitinya.

“Ini adalah bengkel utama, ia adalah umum dan kita akan adakan perancangan strategik, tetapi setiap aktiviti selepas ini akan melibatkan sektor komersil, pertanian dan sebagainya dan setiap projek pembangunan akan diadakan bengkel,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada bengkel tersebut hari ini.

Beliau berkata objektif utama projek-projek pembangunan di bawah MiRRDA adalah bertujuan untuk menaik taraf sosio ekonomi dan seterusnya membasmi kemiskinan dan ia selari dengan objektif Strategi Pembangunan PascaCOVID-19 (PCDS) 2030.

Terdahulu Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata bengkel tersebut diadakan bagi memperhalusi dan memperincikan cadangan-cadangan  projek yang telah dibincangkan pada makmal mini yang diadakan pada tahun lepas.

Beliau berharap bengkel itu dapat digunakan untuk merangka pelan tindakan komprehensif sejajar dengan Aspirasi Sarawak dan PCDS 2030 dan mengenal pasti inisiatif strategik bagi menjayakan misi dan matlamat MiRRDA  untuk mempercepatkan pembangunan di wilayah tengah Rajang.

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Seri John Sikie Tayai, Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Allan Siden Gramong, ADUN Ngemah Anyi Jana dan Senator Rita Insol.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here