KUALA LUMPUR, 11 Jun – Mana-mana premis dimohon menetapkan syarat bagi setiap individu membuka pelitup muka ketika berurusan di kaunter perkhidmatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa.Beliau berkata ini bagi memudahkan siasatan pihak polis untuk pengecaman wajah sekira berlaku sebarang insiden jenayah di lokasi terbabit.

“Kita mohon pihak yang melakukan penghantaran atau sebarang urusan, membuka sementara ‘mask’ mereka bagi tujuan pengenalan. Apabila mengenakan ‘mask’ sukar untuk buat pengecaman wajah (suspek).

“Pihak pengurusan kaunter boleh meminta mana-mana individu untuk membuka seketika pelitup muka bagi tujuan keselamatan,” katanya mengulas berhubung kejadian ancaman bom palsu di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Putrajaya, minggu lepas.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur di antara bekas Ketua JSJ Kuala Lumpur Datuk Habibi Majinji dan Ketua JSJ Kuala Lumpur baharu SAC Mohd Razali Mohd Idrus.

Habibi akan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Staf Operasi Darat Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang baharu menggantikan Datuk M Chandrasekaran, 56, yang meninggal dunia pada 1 Jun lepas manakala Mohd Razali sebelum ini ialah Ketua Penolong Pengarah Forensik (D10) Bukit Aman.

Rusdi berkata pemasangan kamera litar tertutup di kaunter yang memberi fokus kepada wajah individu juga amat digalakkan bagi proses pengecaman wajah lebih jelas.

Berhubung isu ancaman bom palsu itu, beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci dan dalam proses akhir untuk mengedar gambar lakaran suspek.

Ditanya mengenai kes ugutan bunuh yang diterima Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, beliau berkata pihaknya ada mendapat petunjuk berhubung kes berkenaan, namun ia meragukan dan siasatan masih dijalankan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here