JOHOR BAHRU, 11 Jun – Kerajaan Johor akan memastikan kerja-kerja baik pulih 88 sekolah agama dengan peruntukan keseluruhan RM12 juta dapat diselesaikan pada akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata peruntukan itu disalurkan oleh pelbagai pihak termasuk RM2 juta daripada Perbadanan Islam Johor (PIJ).

Beliau berkata kerja-kerja membaik pulih pelbagai kerosakan pada tahap kritikal itu termasuk insfrastruktur, pendawaian dan menukar bumbung serta siling dengan sebahagian besar melibatkan sekolah luar bandar.

“Jabatan Agama Islam Negeri Johor mendokumentasikan (sekolah perlu dibaik pulih) sejak tahun lepas dan kita sedikit tertangguh sebab kewangan (tetapi) kewangan sudah mula masuk dan PIJ sendiri telah salurkan.

“Sekolah telah dikenal pasti dan ia harus selesai tahun ini, kita tidak boleh tunggu kerana takut kerosakan bertambah teruk,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Amal Jariah PIJ Tahun 2024 di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), di sini hari ini.

Kerajaan negeri juga akan memastikan penyelenggaraan dilakukan secara berkala atau berjadual pada masa hadapan bagi mengelakkan kerosakan teruk berlaku.

Sementara itu, Mohd Fared berkata PIJ menyumbangkan 160 unit televisyen pintar dengan nilai keseluruhan RM200,000 kepada 160 sekolah agama di negeri itu dan sumbangan berkenaan melibatkan seluruh daerah dengan dua sekolah dipilih di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

PIJ turut menyumbang 10 unit peranti braille elektronik “eBrelle Laptop for the Blind” untuk kegunaan pelajar berkeperluan khas penglihatan di MSAB dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here