PHNOM PENH, 12 Jun – Kemboja akan baik pulih struktur jalan masuk bahagian timur kuil Beng Mealea di Taman Arkeologi Angkor menerusi Dana Khas Kerjasama Lancang-Mekong (LMC), menurut Pihak Berkuasa Kebangsaan APSARA (ANA) dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Pegawai teknikal dari Jabatan Pemuliharaan Monumen dan Arkeologi Pencegahan ANA, Puth Soth berkata satu pasukan sedang menjalankan penggalian arkeologi pada struktur jalan masuk kuil untuk projek pemulihan.

“Setelah menggali lapisan tanah bahagian atas, kami mendapati bahawa lantai jalan masuk telah runtuh hingga menyebabkan beberapa struktur komponen seperti tiang, pagar Naga, badan Naga, kepala Naga, dan banyak serpihan berada dalam parit dan ada yang tertimbus di dalam tanah,” kata Soth yang mengetuai kerja penggalian itu.

Beliau menambah bahawa apabila penggalian selesai, projek pemulihan jalan masuk akan dilancarkan di bawah Dana Khas LMC.

Dana ini dimulakan oleh China pada Mac 2016, bertujuan menyokong projek kerjasama kecil dan sederhana yang dicadangkan oleh enam negara LMC.

Dibina pada pertengahan abad ke-12, susun atur kuil Beng Mealea sangat mirip dengan kuil Angkor Wat, menurut ANA.

Dibina menggunakan batu pasir biru, kuil Beng Mealea merupakan antara kuil utama dalam Taman Arkeologi Angkor seluas 401 kilometer persegi di wilayah Siem Reap, barat laut Kemboja.

Taman Arkeologi Angkor yang tersenarai dalam Senarai Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1992, adalah destinasi pelancongan paling popular di negara Asia Tenggara itu.

Taman ini menarik 472,258 pelawat antarabangsa dalam tempoh lima bulan pertama 2024, peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan Angkor Enterprise.

Ia menjana pendapatan sebanyak US$22.2 juta dari penjualan tiket dalam tempoh Januari-Mei tahun ini, juga meningkat sebanyak 38 peratus berbanding tahun sebelumnya, tambah laporan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here