JOHOR BAHRU, 12 Jun – Pembinaan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) di antara Johor Bahru dan Singapura berjalan seperti yang dijadualkan dengan mencapai kemajuan sebanyak 77.61 peratus sehingga 31 Mei, 2024.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mass Rapid Transit Sdn Bhd (MRT Corp) berkata depoh penyelenggaraan, salah satu komponen utama infrastruktur pengangkutan rel yang terletak di Wadi Hana, mencapai kemajuan sebanyak 82.14 peratus dan dijadualkan untuk pemasangan sistem menjelang akhir tahun.

“Platform untuk Stesen Bukit Chagar akan siap untuk akses sistem menjelang akhir tahun ini.

“Kemajuan semasa adalah pada 71.16 peratus dengan penyiapan rasuk cangkerang berbentuk U di atas landasan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB). Tumpuan semasa ialah pada pembinaan lantai stesen,” katanya.

Ia berkata semua tiang penyokong di sepanjang Jalan Tun Abdul Razak dan Jalan Ismail Sultan telah dipasang.

“Dengan lebih separuh daripada rentangan laluan pandu yang menghubungkan tiang penyokong di sepanjang jajaran selesai, kemajuan kini mencapai 65 peratus dan berada pada kedudukan yang tepat untuk disiapkan menjelang akhir tahun,” katanya.

Sementara itu, ia berkata semua tiang penyokong yang berada di perairan telah dibina dan kerja-kerja pemasangan untuk rentangan laluan yang menghubungkan tiang sedang dijalankan, menjadikan kemajuan keseluruhan pembinaan bahagian di perairan kepada 74.76 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir November 2024.

“Pembinaan di bahagian perairan termasuk laluan navigasi di antara tiang yang ditetapkan, berukuran 75 meter (lebar) dan 25 meter (tinggi) untuk membolehkan bot dan tongkang melaluinya.

“Dengan semuanya berjalan seperti yang dirancang, pengendali RTS Link, RTS Operations Systems Pte Ltd (RTSO) akan mempunyai akses untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan sistem menjelang akhir tahun ini,” katanya.

RTS Link ialah perkhidmatan ulang-alik transit aliran ringan sejauh empat kilometer di antara Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan Stesen Woodlands North di Singapura yang mempunyai kapasiti 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor-Malaysia. 

Bahagian kerja-kerja infrastruktur di Malaysia, termasuk pembinaan stesen, depoh dan 2.7 kilometer jejambat darat dan laut, dikendalikan oleh anak syarikat MRT Corp, Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd, sebagai Syarikat Infrastruktur (InfraCo) Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here