KUALA LUMPUR, 14 Jun – Kopitiam tempatan Oriental Kopi menerima pengiktirafan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengarah Urusan Oriental Kopi Datuk Calvin Chan menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pencapaian yang bersejarah, sangat bermakna dan penting memandangkan permohonan sijil halal dalam industri makanan dan minuman amat mencabar. 

“Kami menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan sepanjang perjalanan ini. Walaupun kelihatan mudah untuk diucapkan, namun proses keseluruhan dari persiapan awal hingga setiap butir operasi harian adalah agak sukar.

“Kami tidak hanya perlu memenuhi piawaian keselamatan makanan dan kebersihan premis yang ketat, tetapi juga memahami dan menghormati nilai-nilai agama dan budaya yang terkandung dalam pensijilan halal,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Chan berkata mereka menyasarkan untuk membuka 20 cawangan di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membolehkan lebih ramai pelanggan menikmati hidangan tempatan autentik di Oriental Kopi.

“Syarikat berhasrat membuka tujuh cawangan tambahan di seluruh negara termasuk di Gurney Plaza, Pulau Pinang dan Viva City Mall, Sarawak serta restoran pertama di luar negara iaitu di Singapura pada tahun ini,” katanya.

Buat masa ini, Oriental Kopi yang ditubuhkan empat tahun lepas mempunyai 14 cawangan di seluruh Malaysia.

Oriental Kopi juga telah mengeluarkan 21 jenis produk halal sendiri antaranya kopi putih, kopi drip, kaya, mentega kacang dan sambal yang berjaya masuk ke pasar raya besar seperti AEON, AEON Big, Jaya Grocer, Village Grocer, Mercato, Giant dan Watsons.

Oriental Kopi juga jenama kopi pertama terpilih untuk dijual di Watsons.

“Pada bulan ini, kami berjaya mengeksport produk kopi putih kami ke Hong Kong dan kami berharap untuk mengeluarkan lebih banyak produk Oriental Kopi ke seluruh dunia pada masa akan datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here