KUALA LUMPUR, 18 Jun – Perdana Menteri China Li Qiang akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dari Selasa hingga 20 Jun.

Ini merupakan lawatan pertamanya ke Malaysia sebagai Perdana Menteri China, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan.

Lawatan beliau juga adalah bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Tun Abdul Razak dan TYT Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

Semasa lawatan itu, Li akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, menurut Wisma Putra.

“Hubungan diplomatik Malaysia dengan China bertambah kukuh sejak penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013,” menurut kenyataan itu.

Anwar dan Li akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China.

Kedua-dua pemimpin itu akan menghadiri majlis makan malam bagi menyambut ulang tahun ke-50.

Li juga akan mengadakan kunjungan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin itu juga akan menghadiri majlis upacara pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link – ECRL) di Gombak dan makan tengah hari bersama komuniti perniagaan dari kedua-dua negara.

Pada 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun berturut-turut dari 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (US$98.90 bilion).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here