KUALA LUMPUR, 30 Jun – Rakyat Malaysia yang memohon visa e-Pelancongan ke India akan diberikan visa 30 hari dengan pengecualian yuran mulai 1 Julai.
Dalam kenyataan pada Sabtu, Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur menyatakan bahawa warga Malaysia akan diberikan visa e-Pelancongan 30 hari dengan dua kemasukan secara percuma (tanpa yuran visa) untuk tempoh satu tahun, dari 1 Julai 2024 hingga 30 Jun 2025.
“Peraturan dan garis panduan sedia ada bagi visa e-Pelancongan dan visa e-lain akan terus berkuat kuasa, seperti yang diperincikan di laman sesawang rasmi.
Pengecualian yuran ini hanya terpakai kepada visa e-Pelancongan 30 hari. Kategori visa e-lain termasuk e-Perniagaan, e-Persidangan, e-Perubatan, e-Atendan Perubatan, e-Ayush, dan e-Kecemasan X Pelbagai akan tetap dikenakan yuran biasa.
Mereka yang memilih visa kertas tradisional melalui pembekal perkhidmatan luar (M/s IVS Global Visa Centre) atau terus daripada Suruhanjaya Tinggi akan tetap dikenakan yuran visa seperti biasa,” katanya.
Pemohon perlu memohon secara dalam talian di https://indianvisaonline.gov.in/evisa/tvoa.html.
Pada masa ini, yuran untuk visa e-Pelancongan adalah RM464.56 setahun .