KUANTAN, 6 Julai – Nilai eksport bagi industri halal negara pada tahun lepas mencecah RM54 bilion, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata industri halal memainkan peranan penting dalam memangkin pertumbuhan ekonomi negara dan sektor itu berpotensi untuk terus berkembang memandangkan industri halal global yang merangkumi produk dan perkhidmatan diunjurkan mencecah US$5 trilion (US$1 = RM4.71) menjelang 2030.

Katanya kerajaan komited untuk meningkatkan bilangan usahawan yang mengeluarkan produk berstatus halal dengan beberapa pendekatan telah diambil antaranya menerusi program Jelajah Halal Malaysia (JHM) yang dilaksanakan oleh Halal Development Corporation Bhd (HDC) iaitu agensi di bawah kementeriannya.

“JHM bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan pendedahan mengenai peluang untuk menembusi bukan sahaja pasaran tempatan tetapi juga pasaran eksport dalam industri halal.

“Sehingga kini program JHM berjaya melibatkan lebih daripada 1,800 PMKS sejak ia dianjurkan pada 2022,” katanya ketika berucap di Program Jelajah Halal Malaysia@Paya Besar di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Tengku Zafrul berkata melalui JHM di Kota Bharu, Kelantan sebelum ini, HDC telah berjaya membantu 15 usahawan menempatkan produk mereka di Pasar Raya Besar Mydin Tunjong melalui sesi padanan perniagaan.

Menyentuh mengenai sektor halal di Pahang, beliau berkata berdasarkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), terdapat 158 syarikat pemegang sijil halal di negeri itu setakat 1 Julai, 2024.

“Bagaimanapun, saya yakin kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah membuat pelbagai perancangan untuk meningkatkan jumlah syarikat yang khususnya berkaitan makanan dan minuman untuk mendapatkan sijil halal,” kata beliau.

Katanya beliau juga telah dimaklumkan mengenai beberapa kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan bagi menyumbang kepada pembangunan ekonomi penduduk antaranya Kompleks Makanan Halal Gambang di Paya Besar dengan pihaknya sedia menawarkan perkhidmatan yang diperlukan bagi meningkatkan ekonomi di kawasan itu khususnya dalam industri halal. 

Sementara itu, Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun ketika berucap berkata Paya Besar merupakan lokasi pertama JHM tahun ini sebelum diteruskan di Sabah hujung bulan ini dan di Pulau Pinang pada Oktober depan. 

Pelaksanaan program itu katanya merupakan tanggungjawab HDC untuk mempersiapkan usahawan mengembangkan perniagaan sehingga berjaya mengeksport produk halal ke pasaran global.

“Ini merupakan satu platform bagi PMKS tempatan menerima ilmu dan maklumat bagaimana mahu mengembangkan keupayaan mereka sebagai sebuah syarikat yang boleh menjadi lebih lebih besar dari sekarang,” katanya. 

Program JHM@Paya Besar dihadiri lebih 200 usahawan tempatan yang diberikan maklumat terkini berkenaan peluang pasaran, bantuan dari segi produk perbankan Islam dan takaful, pematuhan berkaitan dengan pensijilan halal serta mengenai pembangunan dan latihan dalam industri halal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here