PORT DICKSON, 8 Julai – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) komited terus memperkasakan pemantauan kualiti udara di seluruh negara termasuk secara langsung menerusi Sistem Pemantauan Pelepasan Berterusan (CEMS).

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia bagi memastikan pemain industri mematuhi peraturan pelepasan udara daripada premis masing-masing sekali gus memelihara keselamatan dan kesihatan penduduk terutama premis berhampiran kawasan perumahan.

“Sekarang pun Jabatan Alam Sekitar (JAS) ada pantau secara langsung menerusi CEMS, memang disyaratkan untuk guna sistem itu ke atas mana-mana premis bagi pelepasan sisa ke udara ia bukan hanya dipantau JAS tetapi industri secara 24 jam, itu antara langkah diambil untuk pantau kualiti udara.

“Pencemaran udara dalam negara setakat ini terkawal, kita pantau secara dekat perkara ini tapi akan ada perbincangan lebih lanjut bukan sahaja secara umum tapi kesihatan, begitu juga di peringkat kerajaan kita akan pantau dengan teliti,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sebuah kilang penapisan minyak mentah di sini hari ini.

Beliau berkata pemilik premis juga perlu sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya dengan tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku kesalahan mencemarkan alam sekitar.

Nik Nazmi berkata pemain industri juga perlu lebih proaktif dan kerap mengadakan libat urus bersama penduduk setempat bagi memberi penerangan serta kefahaman berhubung proses pengoperasian premis yang kadangkala bersifat teknikal.

“Kalau dulu mungkin banyak industri terletak jauh dari tempat tinggal tapi sekarang penduduk makin ramai dan kilang semakin dekat (kawasan perumahan), jadi perlu ada tindakan proaktif pemilik premis. Pematuhan undang-undang itu mustahak tapi soal komunikasi dengan penduduk juga penting,” katanya.

Mengenai isu pelepasan asap hitam membabitkan premis penapisan minyak mentah yang dikesan 19 Jun lepas, beliau berkata perkara itu bukan disengajakan tetapi disebabkan pembakaran gas yang tidak sempurna semasa proses penstabilan di unit flare.

Pemantauan mendapati premis masih dalam proses startup dan penstabilan untuk beroperasi semula setelah tindakan pembaikan ke atas unit dandang dijangka selesai sepenuhnya hari ini.

“Bagi tujuan keselamatan, unit flare di dalam proses penapisan minyak mentah digunakan untuk membakar gas yang bertekanan tinggi di dalam sistem loji bagi mengelakkan sebarang kejadian lebih buruk seperti kebakaran atau potensi letupan,” katanya.

Orang awam diminta melaporkan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Terdahulu, NRES memaklum JAS menerima aduan berhubung pelepasan asap hitam dari premis itu yang menyebabkan pencemaran udara serta mengganggu penduduk di perumahan berhampiran seperti di Taman Toh Kee Kah dan Taman Mewah di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here