KOTA KINABALU, 25 Julai – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata beberapa lagi projek baharu dan sambungan pembinaan balai bomba telah diluluskan dan sedang dilaksanakan pada tahun ini iaitu di Telupid, Lahad Datu, Beaufort, Pitas, Nabawan dan Merotai.

Beliau berkata peruntukan untuk melaksanakan projek berkenaan adalah di bawah Rancangan Malaysia ke-12, Pelan Pusingan ke-Empat (RP4).

Kerajaan memperuntukkan RM267.6 juta di bawah Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)  yang merangkumi 17 projek baharu dan 47 projek sambungan seluruh Malaysia.

“Bagi 2024, kerajaan Perpaduan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM53.8 juta bagi projek baharu fizikal binaan yang merangkumi pembinaan baharu, naik taraf dan penyelenggaraan kemudahan kebombaan termasuk balai dan kuarters.

“Selain itu, peruntukan sebanyak RM64.8 juta telah diluluskan bagi pelaksanaan projek baharu fizikal kelengkapan JBPM bagi 2024 iaitu memperbaharui 30 unit Fire Rescue Tender (FRT),  penggantian 10 unit bas bomba, penyelenggaraan helikopter dan pengisian bahan bakar pesawat serta penyelenggaraan kenderaan bomba,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Putatan di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri II Datuk Dr Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya dan Ketua Pengarah JBPM Datuk Hisham Mohammad.

Mengulas mengenai Balai Bomba Putatan, Nga berkata ia merupakan projek pembinaan yang telah dilaksanakan di atas tapak berkeluasan 1.756 ekar dengan kos keseluruhan sebanyak RM11.72 juta. 

“Ia merupakan balai bomba kategori C yang dilengkapi dengan ruang jentera, pejabat pentadbiran, stor logistik, rumah pam, menara dan padang kawad serta kemudahan-kemudahan lain.

“Dengan beroperasinya Balai Bomba dan Penyelamat Putatan ini, ia menjadikan sebanyak 27 buah balai bomba di seluruh Sabah siap sedia untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat Sabah,” katanya.

Nga berkata sebelum ini sebarang insiden di kawasan berkenaan dikendalikan balai bomba dan penyelamat berhampiran seperti Kota Kinabalu, Penampang dan Lintas yang terletak dalam jarak purata melebihi 12 kilometer dari Putatan.

“Kini sudah pasti masa bertindak akan menjadi lebih singkat dan pasukan dapat sampai lebih cepat di lokasi kejadian bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda penduduk di sekitar kawasan ini.

“KPKT amat positif pada masa akan datang dengan pertambahan bilangan balai-balai baharu yang akan dibina dan beroperasi, masa tindak balas jabatan bomba akan dapat dicapai dengan lebih baik,” tambah beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here