PUTRAJAYA, 2 Ogos – Semua agensi kerajaan perlu melaksanakan tindakan menghindari penggunaan plastik sekali guna di organisasi masing-masing semasa mesyuarat, majlis rasmi serta apa-apa jua program, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan menerusi edaran Surat Pekeliling Am Bilangan 6 Tahun 2024 berkaitan Strategi Pelaksanaan Menghindari Plastik Sekali Guna yang telah mula berkuat kuasa pada tarikh pekeliling dikeluarkan iaitu pada 12 Julai lepas, dan telah dibentang serta diambil maklum oleh Jemaah Menteri semalam.

Nik Nazmi berkata semua jabatan dan agensi terlibat perlu mengikuti panduan bagi menghindari penggunaan plastik sekali guna, iaitu dengan menggantikan botol minuman plastik dengan botol kaca atau menyediakan jag air; dan menggantikan pembalut plastik di piring, pinggan, mangkuk dengan penutup makanan yang boleh diguna semula.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata semua pihak yang berkenaan juga disaran tidak menyediakan pinggan, piring, mangkuk, cawan atau kutleri bersifat sekali guna, serta mengelakkan penggunaan straw plastik; di samping menyediakan water dispenser untuk kemudahan isian semula.

Beliau berkata amalan-amalan baik seperti membawa bekas makanan, sudu, garpu dan penyedut minuman yang boleh diguna semula untuk kegunaan peribadi; serta menggunakan beg woven atau beg khas yang boleh diguna semula semasa membeli makanan dan minuman di kafeteria, hendaklah diteruskan pelaksanaannya.

Nik Nazmi berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam komited menangani isu pencemaran plastik terutamanya plastik sekali guna yang memberi kesan negatif kepada kelestarian alam sekitar, kesihatan awam dan ekonomi negara.

“Malah strategi menghindari plastik sekali guna telah mula dilaksanakan di kementerian ini sejak 2018,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here