KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus komited untuk melaksanakan dasar berkaitan industri perumahan dengan cekap bagi meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor berkaitan, kata menterinya Nga Kor Ming.

Dengan merujuk kepada kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengenai permintaan bagi pinjaman isi rumah masih berterusan terutamanya untuk gadai janji, Nga berkata data itu juga membuktikan bahawa sektor perumahan Malaysia kekal sihat dan teguh.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas daripada jangkaan ketika ini adalah bukti komitmen kerajaan MADANI dalam meningkatkan ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sungguh mengagumkan, untuk melihat pertumbuhan ekonomi Malaysia mengatasi jangkaan pasaran untuk dua suku berturut-turut dengan masing-masing berkembang 4.2 peratus dan 5.9 peratus.

“Tambahan pula, saya percaya kenaikan gaji penjawat awam yang diumum oleh Perdana Menteri (hari ini) akan terus menyokong perbelanjaan domestik dan meningkatkan sektor hartanah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BNM hari ini mengumumkan bahawa ekonomi negara melebihi anggaran awal, meningkat sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, manakala pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul dikekalkan pada 6.2 peratus pada suku kedua tahun itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here