MANILA, 19 Ogos – Filipina akan memperuntukkan 50 bilion peso (US$875 juta) untuk membiayai program pemodenan Angkatan Bersenjata Filipina (AFP) pada 2025, kata seorang ahli Dewan Perwakilan pada Ahad.

Ahli Dewan Perwakilan Johnny Pimentel berkata dalam belanjawan negara 2025, sejumlah 50 bilion peso telah diperuntukkan khusus untuk menyokong keperluan pembiayaan projek pemodenan AFP yang sedang berjalan.

“Jumlah ini ialah 25 peratus atau 10 bilion peso (US$175 juta), lebih tinggi daripada peruntukan untuk perolehan dan menaik taraf perkakasan serta sistem ketenteraan dalam bajet 2024,” kata Pimentel.

Bulan lepas, Jabatan Belanjawan dan Pengurusan (DBM) mengemukakan cadangan bajet 2025 atau program perbelanjaan negara, kepada Dewan Perwakilan untuk diteliti.

Bajet 2025 yang dicadangkan berjumlah 6.352 trilion peso (US$111 bilion), bersamaan 22 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan 10.1 peratus lebih tinggi daripada belanjawan negara 2024.

Dewan Perwakilan dan senat akan meneliti cadangan bajet 2025 sebelum Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos menandatangani Rang Undang-Undang itu menjadi undang-undang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here