PATTANI, 20 Ogos – Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia akan melaksanakan inisiatif “Kawasan Komuniti Angkat” di Wilayah Pattani, Selatan Thailand, bertujuan mewujudkan pelbagai program pendidikan bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran pelajar.

Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Hirman Awang berkata 20 universiti di Malaysia akan menjadikan 20 kawasan di Pattani sebagai “Kawasan Komuniti Angkat.”

“Ini menunjukkan betapa pentingnya hubungan dua hala (Malaysia dan Thailand) dalam melaksanakan program pendidikan. Pelajar universiti Malaysia juga akan terlibat sama dalam program ini untuk menyebarkan ilmu dan berkongsi kepakaran,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Hirman turut memaklumkan bahawa universiti-universiti akan memilih kawasan yang sesuai bagi membangunkan “Kawasan Komuniti Angkat”.

Sementara itu, Gabenor Wilayah Pattani, Pateemoh Sadeeyamu menyambut baik inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dalam usaha memperkasa pendidikan di wilayah itu.

“Terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dan universiti-universiti Malaysia yang berkorban masa dan tenaga untuk menganjurkan aktiviti yang bermanfaat ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here