KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Malaysia komited mematuhi piawaian antarabangsa ditetapkan Financial Action Task Force (FATF) yang menekankan kepentingan ketelusan pemunyaan benefisial sebagai asas utama dalam usaha memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pindaan terbaharu Akta Syarikat 2016 melalui Akta Syarikat (Pindaan) 2024 yang berkuat kuasa 1 April lepas menandakan langkah signifikan dalam memperkukuh tatakelola korporat di negara ini.

Beliau berkata kerangka perundangan itu memperkenalkan pelbagai perubahan bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan syarikat serta mempertingkatkan mekanisme kawal selia korporat.

“Pindaan ini melambangkan komitmen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk bersama-sama menerajui strategi serta pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menyokong agenda reformasi.

“Ini termasuk pengukuhan kerangka tatakelola kerajaan dan tadbir urus negara secara keseluruhan serta memastikan ketelusan yang lebih baik dalam ekosistem perniagaan dan sektor korporat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 Armizan berkata kerangka perundangan itu turut memberi penekanan kepada pengawasan lebih ketat dan pelaporan lebih jelas mengenai pemunyaan benefisial bertujuan mengurangkan risiko penyelewengan dan meningkatkan keyakinan pelabur serta pihak berkepentingan lain terhadap integriti sistem perniagaan di Malaysia.

Beliau berkata pendekatan itu selaras dengan matlamat negara untuk menjadi sebuah pusat perniagaan berintegriti tinggi dan berdaya saing dalam arena global serta seiring konsep Malaysia MADANI yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Armizan berkata sebagai sebahagian inisiatif itu, sistem Electronic Beneficial Ownership System (e-BOS) dilancarkan untuk mempermudah proses serah simpan dan pengurusan maklumat pemunya benefisial.

“Sistem ini bertujuan meningkatkan ketelusan serta mengurangkan risiko penyelewengan dengan menyediakan platform yang efisien bagi syarikat untuk menyerah simpan maklumat penting mengenai pemilik sebenar mereka.

“Sistem e-BOS bukan sahaja mempermudah pelaporan tetapi juga memastikan maklumat yang dikumpul tepat dan terkini,” katanya. 

Armizan berkata hingga 31 Julai 2024, sejumlah 374,774 daripada 677,351 syarikat aktif (55.3 peratus) yang tersenarai dalam daftar SSM mematuhi keperluan untuk menyerahkan maklumat pemilikan benefisial. 

Beliau berkata kadar pematuhan itu ialah langkah positif ke arah mencapai matlamat ketelusan lebih tinggi dalam sektor korporat sekali gus menggambarkan komitmen sektor perniagaan untuk memenuhi piawaian ketelusan ditetapkan serta menyokong usaha reformasi yang dilaksanakan di bawah konsep Malaysia MADANI.

Terdahulu, beliau melancarkan Persidangan Kebangsaan SSM (SSMNC2024) yang dianjurkan secara dalam talian dengan rekod penyertaan lebih 3,000 delegasi termasuk wakil daripada Corporate Registers Forum dari Singapura, Hong Kong, Tunisia, Republic of Kiribati serta Afrika Selatan.

Matlamat utama persidangan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai amalan terbaik korporat di samping membincangkan perkembangan terkini dalam perundangan yang mempengaruhi perniagaan di Malaysia bersama pakar yang diketengahkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here