BEIJING, 28 Ogos – Pengarah Pejabat Suruhanjaya Pusat bagi Hal Ehwal Luar Wang Yi memulakan pusingan baharu komunikasi strategik China-Amerika Syarikat (AS) bersama Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih Jake Sullivan di sini pada Selasa.

Wang yang juga merupakan ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) berkata pelaksanaan konsensus yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara di San Francisco antara tugas utama sesi komunikasi kali ini.

Beliau menyatakan hubungan China-AS telah mengharungi banyak cabaran dalam beberapa tahun lalu, sambil menambah bahawa di bawah bimbingan strategik Presiden Xi Jinping dan Presiden Joe Biden, dua negara berjaya mencapai ‘Return to Bali, Move Toward San Francisco’.

“Pengalaman diraih sepanjang proses itu harus dirumuskan dan pengajaran daripadanya perlu diambil.

“Kuncinya diletak pada prinsip saling menghormati, hidup bersama secara aman dan kerjasama saling untung,” tegas Wang.

Beliau turut menzahirkan harapan agar komunikasi berkenaan dilakukan secara strategik dan substantif seperti dahulu, serta lebih konstruktif.

“Kedua-dua pihak harus mengatasi gangguan dan menghapuskan halangan untuk menggerakkan hubungan bilateral ke arah Visi San Francisco sehingga mewujudkan perkembangan yang stabil, sihat dan mampan,” katanya.

Sementara itu, Sullivan berkata Presiden Biden komited menguruskan hubungan AS-China dengan bertanggungjawab dan mengelak persaingan daripada menjadi konflik sambil bekerjasama dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

“Menerusi komunikasi kali ini, kami (AS) berharap dapat mengadakan dialog produktif dengan pihak China mengenai pelbagai isu dan melaksanakan konsensus dicapai antara ketua negara,” kata Sullivan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here