Lebih 200 rakyat Malaysia berkumpul di Kedutaan Malaysia di Beijing hari ini bagi sama-sama memeriahkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67. 

Majlis dimulakan seawal pukul 8.30 pagi dengan sesi menaikkan bendera, nyanyian lagu Negaraku dan bacaan ikrar. 

Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Norfarina Mohd Azmee ketika berucap pada majlis tersebut berkata sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini yang bertemakan Malaysia Madani : Jiwa Merdeka merupakan wadah warga Malaysia di Beijing membangkitkan semangat patriotik dan menyemarakkan penghayatan kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya bagi yang berada di perantauan. 

Katanya sambutan hari kebangsaan di Beijing adalah lebih manis lagi pada tahun ini memandangkan Malaysia dan China sedang menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik. 

“Sebagai rakyat Malaysia di perantauan, kita bertanggungjawab untuk menjunjung seruan dan aspirasi kerajaan tersebut. Setiap warga Malaysia mempunyai peranan masing-masing bagi memastikan Malaysia sentiasa terkehadapan dan lebih maju di arena antarabangsa,” kata beliau. 

Majlis pada hari ini menyaksikan tetamu-tetamu yang hadir mengenakan pakaian kebangsaan sambil membawa bendera sebagai signifikasi semangat patriotik dan jiwa merdeka dalam diri masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here