Sebagai persiapan bagi sidang kemuncak Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) 2024,  Mesyuarat Peringkat Menteri ke-9 telah dirasmikan di Beijing pada Selasa. 

Menteri Luar China Wang Yi berkata, tema sidang kemuncak kali ini ditetapkan sebagai “Berganding Bahu untuk Memajukan Pemodenan dan Membina Bersama Komuniti Berkongsi  Nasib China-Afrika yang Holistik ” selaras dengan perkembangan sejarah dan aspirasi bersama rakyat China dan Afrika.  

Wang menyatakan keyakinan bahawa dengan usaha bersama semua anggota FOCAC, sidang kemuncak kali ini pasti akan menjadi satu lagi temasya yang signifikan dalam sejarah untuk mengukuhkan perpaduan dan kerjasama China-Afrika, dan batu tanda baharu bagi “Selatan Global” berganding bahu mengorak langkah ke arah pemodenan.

“Dalam tempoh tiga tahun lalu sejak Mesyuarat Peringkat Menteri ke-8 FOCAC diadakan, kedua-dua pihak terus menyemarakkan semangat kerjasama berdasarkan persahabatan tradisional, memupuk rasa saling percaya dalam bidang strategi yang berpaksikan arahan pemimpin negara, saling menyokong dalam menempuh jalan pembangunan mengikut acuan negara masing-masing, bekerjasama untuk melaksanakan pelbagai pencapaian dan langkah yang melibatkan “Sembilan Projek” untuk memperkukuh hubungan bilateral supaya dapat melonjakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Afrika ke tahap yang baharu.

“Perpaduan dan penyelarasan yang lebih kukuh di kalangan 2.8 bilion rakyat China dan Afrika pasti boleh dijadikan momentum baharu bagi kerjasama Global Selatan dan menambah elemen baharu dalam pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

“China akan sentiasa berdiri teguh bersama saudara Afrika, dan menyokong Afrika dalam hal ehwal Majlis Keselamatan PBB,” kata Wang.

Wakil-wakil dari negara Afrika pula berkata, sejak FOCAC diinisiatifkan pada tahun 2000, Afrika dan China saling menghormati berdasarkan kesamarataan, dan berjaya mewujudkan situasi saling menguntungkan dan sama menang sehingga menjadi teladan dalam kerjasama antarabangsa dan Afrika juga dapat membela nasibnya.

Pihak Afrika bersedia mengeratkan kerjasama dengan China untuk menjayakan sidang kemuncak kali ini, meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan Agenda 2063 Kesatuan Afrika (AU) dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI) yang dikemukakan China, dan menggalakkan kerjasama komprehensif demi kesejahteraan rakyat kedua-dua pihak.

Turut hadir, 300 orang menteri luar dan menteri ekonomi dari 53 negara Afrika, serta perwakilan dari pertubuhan serantau dan antarabangsa termasuk AU.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here