LONDON, 6 Sept – Negara anggota Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS), dan United Kingdom (UK) merupakan dalam kalangan negara yang menandatangani perjanjian antarabangsa sulung yang mengikat secara sah berkaitan risiko kecerdasan buatan (AI), menurut Majlis Eropah pada Khamis.

Menurut Agensi Anadolu, Konvensyen Rangka Kerja Majlis Eropah mengenai Kecerdasan Buatan, Hak Asasi Manusia, Demokrasi, dan Kedaulatan Undang-Undang telah dibuka untuk ditandatangani semasa persidangan Menteri Kehakiman Majlis Eropah di Vilnius, ibu kota Lithuania.

Perjanjian ini merupakan perjanjian antarabangsa pertama yang mengikat secara sah bertujuan untuk memastikan bahawa penggunaan sistem AI adalah konsisten sepenuhnya dengan hak asasi manusia, demokrasi, dan kedaulatan undang-undang.

Dalam satu kenyataan, Majlis Eropah berkata Konvensyen Rangka Kerja ini telah ditandatangani oleh Andorra, Georgia, Iceland, Norway, Moldova, San Marino, UK serta Israel, AS, dan EU.

Setiausaha Agung Majlis Eropah Marija Pejcinovic Buric berkata mereka perlu memastikan bahawa kebangkitan AI menyokong “standard kita, dan bukannya mengganggu-gugatnya.”

“Konvensyen Rangka Kerja ini direka untuk memastikan perkara itu. Ia adalah teks yang kukuh dan seimbang – hasil daripada pendekatan terbuka dan terangkum yang membolehkan ia dirangka dengan manfaat daripada pelbagai perspektif pakar,” katanya dalam kenyataan itu.

Buric turut berkata Konvensyen Rangka Kerja ini merupakan perjanjian terbuka dengan jangkauan global yang berpotensi, sambil berharap ia akan menerima banyak tandatangan dan disusuli dengan cepat oleh ratifikasi supaya perjanjian itu boleh berkuat kuasa secepat mungkin.

Perjanjian ini menyediakan rangka kerja undang-undang yang meliputi keseluruhan kitaran hayat sistem AI, mempromosikan kemajuan dan inovasi dalam AI sambil mengurus risiko yang mungkin timbul terhadap hak asasi manusia, demokrasi, dan kedaulatan undang-undang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here