KYIV, 6 Sept – Parlimen Ukraine meluluskan peletakan jawatan Menteri Luar Dmytro Kuleba pada Khamis, dengan majoriti besar menyokong usul itu.

Kuleba telah menyerahkan surat peletakan jawatannya pada Rabu. Berkhidmat sejak 2020, Kuleba menjadi seorang daripada menteri Ukraine yang lebih dikenali di luar negara kerana berulang kali mengeluarkan gesaan untuk mendapatkan sokongan dalam menangkis pencerobohan Rusia.

Timbalan Kuleba, Andrii Sybiha, 49, akan menggantikannya. Sybiha, seorang diplomat, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pejabat Presiden Volodymyr Zelensky sehingga April tahun ini.

Kuleba tidak hadir di parlimen semasa pengundian. Menurut laporan media beliau akan memulakan tugas baharu untuk proses integrasi Ukraine ke dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Menurut laporan penyiar awam kebangsaan Ukraine, Zelensky mendakwa usaha Kuleba untuk mendapatkan penghantaran senjata adalah tidak memuaskan dalam satu mesyuarat parti.

Laporan di Kyiv menyatakan bahawa kira-kira separuh daripada semua jawatan menteri akan terkesan oleh rombakan kabinet, dengan tanggungjawab portfolio turut berubah.

Zelensky telah menjelaskan bahawa rombakan ini adalah perlu untuk permulaan baharu. “Kita memerlukan tenaga baharu hari ini,” katanya.

Penentangnya menyifatkan perubahan ini sebagai kosmetik dan bertujuan mengalih perhatian daripada kegagalan di barisan hadapan. Masalah bekalan tenaga akibat serangan Rusia juga menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penduduk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here