KUALA LUMPUR, 11 Sept – Kumpulan Meraque (Meraque), syarikat penyelesaian robotik Malaysia akan menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Pertanian Uzbekistan menggunakan teknologi dron dan penyelesaian robotik dalam pembangunan pertanian mampan.

Selain itu, Meraque dan Kementerian Pertanian Uzbekistan akan  membangunkan dasar ekosistem dron komprehensif untuk aktiviti  pertanian di negara itu yang bertujuan untuk mengawal selia dan meningkatkan penggunaan teknologi dron dalam sektor pertanian.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani Pengarah Institusi Negeri Republik Uzbekistan (Perkhidmatan Pentadbiran dan Ekonomi), Shakhobjon Sharifo, bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Meraque, Razali Ismail. Majlis itu disaksikan Menteri Pertanian Republik Uzbekistan, Ibrokhim Y. Abdurakhmonov.

Dalam satu kenyataan, Meraque berkata Uzbekistan sedang giat mengembangkan sektor hortikulturnya dengan memberi tumpuan kepada pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran.

Menyedari potensi pasaran yang luas, Meraque melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk syarikat itu meluaskan kepakarannya dalam teknologi dron dan penyelesaian robotik bagi membantu merevolusikan sektor pertanian Uzbekistan.

“Perkongsian strategik itu akan mengutamakan aspek pendidikan dan perkongsian pengetahuan, memberi tumpuan kepada program latihan, tadbir urus ekosistem dron, dan perkhidmatan dalam sektor pertanian.

“Dengan membabitkan 100,000 petani, Kementerian Pertanian Uzbekistan bersedia untuk mendapat manfaat daripada peningkatan kecekapan, produktiviti dan kemampanan melalui perkongsian itu,” menurut kenyataan berkenaan.

Sementara itu, Razali berkata perkongsian strategik itu akan meningkatkan keupayaan Meraque dan menyumbang kepada matlamat yang lebih luas iaitu pembangunan pertanian mampan.

“Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian Republik Uzbekistan untuk mencipta penyelesaian termaju yang akan memberi manfaat kedua-dua negara,” katanya.

Meraque menyasarkan untuk memperoleh pelaburan RM20 juta (US$4.6 juta) untuk mewujudkan fasiliti pembuatan termaju di Uzbekistan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Inisiatif itu dijangka menjana 1,000 pekerjaan baharu dan penggunaan 100,000 hektar tanah pertanian dengan hasil sumbangan bernilai kira-kira RM60 juta (US$13.8 juta).

Selain itu, Meraque juga merancang untuk mengumpul sebanyak RM30 juta (US$6.9 juta) dalam bentuk potensi pelaburan bagi memajukan pembangunan masa depan dalam teknologi pertanian di seluruh rantau itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here