KUALA LUMPUR, 11 Sept – Turkmenistan bersama beberapa negara Asia Tengah menyuarakan minat yang mendalam untuk bekerjasama dengan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa mesej itu disampaikan kepada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, semasa pertemuannya dengan rakan sejawatnya dari Turkmenistan, Rashid Meredov yang juga Naib Presiden Turkmenistan, di Kementerian Luar Turkmenistan pada Isnin (9 Sept).

Malaysia akan memegang jawatan selaku Pengerusi ASEAN pada 2025.

Sementara itu, kementerian memaklumkan bahawa kedua-dua Menteri itu mengulangi komitmen mereka untuk memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan, kebudayaan dan pembangunan kapasiti.

Kedua-dua menteri juga mengiktiraf peranan penting dan sumbangan PETRONAS dalam transformasi ekonomi sektor minyak dan gas Turkmenistan sejak ia mula beroperasi pada 1996.

“Mereka turut membincangkan isu-isu serantau dan global yang menjadi kebimbangan bersama seperti situasi di Gaza, konflik Ukraine-Rusia dan perkembangan di Afghanistan,” menurut kenyataan itu.

Mohamad memulakan lawatan rasmi ke Turkmenistan dari 9 hingga 10 September untuk mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Mohamad turut berkongsi mengenai pertemuannya bersama Meredov di Facebook.

“Kami mencari cara untuk mempertingkatkan lagi hubungan kedua-dua buah negara dalam pelbagai bidang khususnya perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertanian, produk halal dan bantuan kerjasama teknikal,” katanya.

Menurut Mohamad, pada 2023, Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Asia Tengah.

“Negara Turkmenistan amat menyanjung tinggi persahabatan yang terjalin dengan Malaysia dan ingin mengeratkan lagi hubungan dengan hasrat Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov untuk mengadakan lawatan ke Malaysia pada Disember ini, InsyaAllah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here