JAKARTA, 14 Sept – Kerajaan Indonesia kini menyiapkan pembinaan landasan di ibu negara baharu, Nusantara pada Khamis dengan Menteri Pengangkutan Budi Karya Sumadi berjaya menjalankan ujian pendaratan pertama.

“Selepas menjalani pelbagai proses penentukuran dan beberapa siri ujian keselamatan penerbangan, jet Longitude milik Institut Kalibrasi berjaya mendarat dengan selamat dan sempurna di landasan lapangan terbang Nusantara,” menurut Budi menerusi hantaran di akaun media sosialnya.

Kapten Wirasono, antara juruterbang yang mengendalikan jet itu membuat penilaian bahawa infrastruktur lapangan terbang Nusantara sudah sedia untuk digunakan.

Beliau menerbangkan pesawat itu pada kelajuan 880 km/j, setanding dengan pesawat seperti Boeing 737 atau Airbus A320.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Adita Irawati berkata bahawa pengesahan landasan dijalankan dari 8 hingga 9 Sept dan penentukuran pada 10 Sept untuk memastikan keselamatan penerbangan.

Pembinaan terminal VVIP (tetamu kehormat utama) di lapangan terbang kini mencapai 90 peratus, manakala terminal VIP (orang kenamaan) pula sudah 80 peratus siap, sementara kemudahan sokongan termasuk menara Kawalan Trafik Udara dan bangunan pentadbiran masih dalam pembangunan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here