SHAH ALAM, 15 Sept – Kerajaan tidak pernah membuat keputusan untuk mewajibkan semua restoran di seluruh negara atau mana-mana industri makanan dan minuman (F&B), memohon sijil halal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebarang cadangan dan kajian  pensijilan halal, tidak akan bersifat memaksa pengusaha bukan Islam.

“Perbincangan mengenai isu halal adalah sesuatu yang sudah lama, malah sijil halal juga sememangnya dimohon oleh pengusaha serta pengendali restoran bukan Islam di negara ini.

“Apa keadaan sebenarnya tentang cadangan dan kajian terhadap (sijil) halal itu, jangan paksa kepada orang bukan Islam untuk dapatkan sijil halal,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-78 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, di sini pada Ahad.

Justeru, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia meminta rakan-rakan dalam parti Kerajaan Perpaduan, supaya tidak menyalah tafsir berhubung isu berkenaan.

“Jangan masuk perangkap musuh politik kita. Semalam, selepas penamaan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, kami daripada Barisan Nasional (BN) mengadakan pertemuan dengan semua parti PH.

“Saya telah memberitahu kepada kepada pihak-pihak berkenaan yang bertelagah dengan isu itu, yang belum ada tentu hujung dan pangkalnya, jangan bangkitkan isu yang sensitif dan berpolemik, hormati agama antara satu sama lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here