BEIJING, 19 Sept – China komited untuk terus menggerakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Malaysia ke arah meraih pencapaian baharu.

Komitmen itu disuarakan jurucakap Kementerian Luar Lin Jian susulan Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke China dari 19 hingga 22 September atas jemputan Presiden Xi Jinping.

Lin berkata ikatan persahabatan antara China dengan Malaysia dijalin sejak sekian lama dan kedua-dua negara merupakan jiran tetangga dan rakan kongsi yang sentiasa saling menyokong antara satu sama lain serta menikmati kerjasama saling menguntungkan.

“Pada Mac tahun lepas, Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencapai konsensus penting mengenai usaha sama membina komuniti berkongsi nasib China-Malaysia, sekali gus memperjelas hala tuju perkembangan hubungan bilateral pada era baharu.

“Tahun ini menandakan sambutan jubli emas bagi hubungan diplomatik China-Malaysia serta Tahun Persahabatan China-Malaysia. Lawatan Perdana Menteri Li Qiang ke Malaysia pada Jun berjaya menyuntik dorongan baharu kepada hubungan kedua-dua negara,” kata Lin.

Beliau turut menzahirkan kesediaan China mengambil peluang daripada lawatan Yang di-Pertuan Agong untuk menyemarakkan persahabatan tradisional, memperdalam penyelarasan strategi pembangunan, memperluas kerjasama saling untung serta memperkayakan lagi konotasi perkongsian strategik komprehensif China-Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here