ANKARA, 21 Sept – Belanda mengumumkan pada Jumaat bahawa ia akan memulangkan 288 artifak sejarah dan objek budaya yang dibawa secara haram dari Indonesia semasa zaman penjajahan.

Menurut laporan Agensi Anadolu, pejabat kerajaan Belanda dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa artifak dan objek budaya daripada Koleksi Nasional itu akan dikembalikan pada Jumaat atas permintaan Indonesia.

“Artifak itu akan dikembalikan secara rasmi kepada Indonesia pada 20 September di Wereldmuseum, Amsterdam, dengan kehadiran Ketua Pengarah Kebudayaan Indonesia Hilmar Farid serta Jawatankuasa Pemulangan Indonesia,” menurut kenyataan itu.

“Objek-objek ini diambil secara tidak sah ke Belanda semasa tempoh penjajahan dan mempunyai nilai kebudayaan bagi Indonesia,” menurut kenyataan itu.

Antara artifak yang dipulangkan termasuk empat arca Hindu-Buddha yang dibawa ke Belanda dari Jawa pada separuh pertama abad ke-19.

Sebanyak 284 lagi objek lain termasuk senjata, syiling, barang kemas dan tekstil yang dibawa ke Belanda dari Bali Selatan pada 1906 selepas penaklukan kolonial Belanda ke atas kepulauan Indonesia.

Jawatankuasa Koleksi Kolonial menyiasat asal usul artifak kebudayaan yang dibawa ke Belanda dari negara lain dan membuat cadangan untuk memulangkannya selaras dengan dasar nasional mengenai koleksi kolonial.

Belanda berikutan cadangan jawatankuasa itu, memulangkan artifak sejarah yang diseludup buat kali kedua, setelah sebelum ini memulangkan artifak kepada Indonesia dan Sri Lanka pada musim panas 2023.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here