WASHINGTON, 22 Sept – Amerika Syarikat, India, Jepun dan Australia akan mengukuhkan kerjasama dalam memerangi ancaman siber, menurut deklarasi bersama selepas Mesyuarat Sidang Kemuncak Pemimpin QUAD di Wilmington, Delaware.

“Negara-negara QUAD berhasrat untuk memperkukuh kerjasama keselamatan siber bagi menangani ancaman yang ditimbulkan oleh entiti yang ditaja sesebuah negara, penjenayah siber, dan lain-lain,” menurut deklarasi itu.

Deklarasi itu menekankan bahawa keempat-empat negara komited untuk mengambil langkah khusus bagi memperkukuh pertahanan rangkaian kolektif serta membangunkan keupayaan teknikal melalui peningkatan perkongsian maklumat mengenai ancaman siber.

“Kami merancang untuk menyelaraskan usaha bersama dalam mengenal pasti kelemahan, melindungi rangkaian keselamatan negara serta infrastruktur kritikal, dan meningkatkan koordinasi termasuk dalam tindak balas dasar terhadap insiden keselamatan siber utama yang mempengaruhi keutamaan bersama QUAD,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat QUAD kali ini juga merupakan “perpisahan” bagi Biden dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida selepas kedua-duanya mengumumkan tidak akan bertanding semula; Biden sebagai Presiden AS, manakala Kishida sebagai Pengerusi Parti Liberal Demokratik dan Perdana Menteri Jepun.

Format QUAD (Dialog Keselamatan Empat Hala) dimulakan pada 2007 oleh Perdana Menteri Jepun ketika itu, Shinzo Abe, sebagai mekanisme rundingan tidak formal antara empat negara yang berkongsi nilai-nilai rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.

Jepun dan Australia adalah sekutu AS, manakala India, yang tidak bersekutu dengan Washington, turut dimasukkan ke dalam QUAD kerana peranannya yang semakin meningkat di rantau Indo-Pasifik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here