PENDANG, 30 Sept — Kerajaan berusaha mempercepatkan penyaluran bantuan awal melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) untuk para pesawah yang terjejas akibat banjir di Kedah, baru-baru ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata anggaran awal kerugian sektor pertanian yang terjejas kira-kira RM40 juta, namun pihaknya masih dalam proses kajian menyeluruh untuk mengenal pasti angka kerugian sebenar.

“Jumlah kerugian itu merangkumi tanaman padi (paling tinggi), sayur-sayuran, nelayan darat yang kolam mereka musnah akibat banjir dan ladang-ladang ternakan lembu.

“Pada awal November ini, Perdana Menteri akan mempengerusikan mesyuarat berkaitan hal sekuriti makanan. Antara tajuk mungkin boleh kita masukkan (dalam mesyuarat) keadaan banjir luar jangka yang berlaku di Kedah… Kawasan jelapang padi mesti diambil perhatian khas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Bakul Makanan MADANI kepada pesawah, petani dan penternak terjejas banjir di Pertubuhan Peladang Kawasan C-III Tajar di sini hari ini.

Sebanyak 2,074 pesawah dan pengusaha pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Inc. Kedah yang terjejas akibat banjir bulan lepas menerima sumbangan bakul makanan  mengandungi pelbagai keperluan asas.

Menurut Mohamad, hampir 6,000 hektar kawasan tanaman padi terlibat banjir pada pertengahan September dan keadaan luar jangka tersebut menyebabkan padi yang sudah hampir boleh dituai rosak, sekali gus akan menyebabkan kekurangan bekalan beras negara.

Beliau berkata sebagai persiapan jangka panjang bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan beras terutama disebabkan bencana alam, KPKM akan memohon supaya kerajaan memperuntukkan kira-kira RM400 juta dalam Belanjawan 2025 untuk menambah baik infrastruktur dan sistem saliran bagi kawasan luar jelapang padi.

“Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ada projek jangka masa panjang sendiri… kita mesti juga tingkatkan infrastruktur kawasan di luar jelapang terutama berkaitan saliran dan pengairan (kawasan sawah),” katanya.

Selain itu, katanya hasrat KPKM yang mahu menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai jelapang padi negara kedua pada masa hadapan selepas Kedah, diharap dapat direalisasikan.

“Kelmarin saya berada di Miri, Sarawak… Premier Sarawak umum untuk jadikan Sarawak jelapang padi kedua dengan peruntukan awal RM500 juta, bagi mengatasi masalah kekurangan beras,” katanya.

Berdasarkan statistik terkini MADA, berkenaan Laporan Pemantauan Padi Tenggelam di Kawasan Muda hingga 29 Sept, seluas 5,915.53 hektar kawasan sawah terjejas akibat banjir melibatkan 2,928 pesawah MADA di Kedah dan Perlis.

Bagi meringankan beban pesawah terlibat, kerajaan menyediakan bantuan melalui TBTP dan kadar bantuan tertakluk kepada usia padi dengan anggaran nilai bantuan bermula RM876 hingga RM1,800 per hektar dan setiap pesawah yang layak terhad kepada keluasan tiga hektar sahaja bagi satu musim penanaman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here