PUTRAJAYA, 30 Sept – Kerajaan akan beralih kepada pengukuran kemiskinan lebih bermakna berdasarkan konsep Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI) sebagai asas dalam mengenal pasti kumpulan sasar untuk pemberian bantuan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata konsep NDI akan mengurangkan ralat keciciran di samping bersifat lebih adil, dan ia akan mengambil kira Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang merujuk kepada kos keperluan hidup untuk menjalani kehidupan bermaruah dan bermakna.

“.. meliputi kos makanan, pakaian, tempat tinggal, utiliti dan pengangkutan, yang berbeza mengikut lokasi dan demografi isi rumah,” katanya ketika berucap pada Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan di sini hari ini.

Simposium bertemakan “Bersama, Berdaya dan Mampan” itu menggariskan lima ikhtiar iaitu memantapkan pengukuran, mereformasi dana menoktah kemiskinan, menyatupadukan data, merubah sikap dan pemikiran serta memperkukuh tenggang menoktah kemiskinan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberi jaminan Jemaah Menteri akan memberi perhatian serius terhadap dapatan dan input yang dikumpulkan dalam simposium berkenaan.

Perdana Menteri berkata beliau mahu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli supaya mengumpul dan merumuskan segala idea dan pandangan dikongsi, dan diberikan kepada barisan panel dan peserta yang menghadiri simposium itu.

“Saya boleh beri jaminan kalau ini (rumusan daripada simposium) disiapkan, Jemaah Menteri akan mengambil kira pandangan ini dengan cara yang paling serius.

“Kalau sempat hari Rabu, Rafizi boleh rumuskan peringkat awal notanya, supaya kita boleh ambil perhatian serius dan menjadikan ini soal keutamaan yang disebut fiqh aulawiyat (fiqah keutamaan),” katanya.

Bagi ikhtiar kedua, Mereformasi Dana Menoktah Kemiskinan, Anwar berkata kerajaan komited untuk meneruskan reformasi fiskal sebagai sebahagian daripada langkah untuk menstruktur semula ekonomi ke arah kemampanan. 

Beliau berkata ia termasuk merombak struktur subsidi menyeluruh kepada subsidi dan bantuan yang lebih bersasar, termasuk bantuan sosial dan program kemiskinan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here