SEOUL, 3 Okt — Presiden Yoon Suk Yeol dijadual melawat Filipina, Singapura dan Laos minggu depan bagi menghadiri sidang kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) serta mengadakan perbincangan dua hala, lapor Agensi Berita Yonhap.

Timbalan Penasihat Keselamatan Negara, Kim Tae-hyo dalam satu sesi taklimat memaklumkan bahawa Yoon akan memulakan lawatan selama enam hari pada Ahad, merangkumi pertemuan dua hala di Filipina dan Singapura serta penyertaan dalam mesyuarat berkaitan ASEAN di Laos.

Semasa lawatannya ke Filipina bermula Ahad hingga Isnin, Yoon akan bertemu Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. untuk membincangkan cara meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Yoon juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada Selasa dan menyampaikan ucapan mengenai visi penyatuan Seoul sebelum berangkat ke Laos pada Rabu.

Pada Khamis, beliau akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga yang melibatkan Korea Selatan, China dan Jepun. Selain itu, beliau juga dijadual mengadakan lapan pertemuan dua hala, termasuk dengan Laos, Vietnam dan Thailand.

Semasa sidang kemuncak tahun ini, Korea Selatan akan membentuk perkongsian strategik komprehensif dengan ASEAN untuk memperkukuh kerjasama dengan blok serantau yang terdiri daripada 10 negara itu.

Rundingan juga sedang dijalankan untuk mengatur sidang kemuncak pertama Yoon dengan Perdana Menteri baharu Jepun, Shigeru Ishiba di Laos sempena sidang kemuncak ASEAN, kata seorang pegawai presiden.

Pada Jumaat, Yoon akan menyertai Sidang Kemuncak Asia Timur sebelum pulang ke tanah airnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here