RIYADH, 7 Okt – Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Jasem Mohamed Albudaiwi memperbaharui seruannya kepada masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawab dan mengambil tindakan segera bagi menghentikan pencerobohan Israel yang serius terhadap Semenanjung Gaza.

Beliau menekankan bahawa  situasi kemanusiaan, keselamatan dan ekonomi di rantau itu semakin merosot selepas setahun operasi ketenteraan Israel di Gaza.

“Ini memerlukan langkah segera dan tegas daripada komuniti antarabangsa untuk menghentikan jenayah kejam Israel terhadap rakyat Palestin, meredakan operasi ketenteraan dan menamatkan sekatan, sambil memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan serta pembukaan laluan bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin,” katanya.

Setiausaha Agung itu turut menegaskan kepentingan melindungi orang awam, termasuk mereka yang terlibat dalam perkhidmatan bantuan dan kemanusiaan.

Selain itu, beliau mengulangi bahawa negara-negara GCC secara konsisten menyokong kebertanggungjawapan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas jenayah kemanusiaan, sambil menuntut Israel disabitkan atas pelanggaran yang dilakukan terhadap rakyat Palestin yang tidak berdaya.

Albudaiwi turut menyuarakan pendirian tegas negara anggota GCC dalam menyokongh perjuangan Palestin serta komitmen mereka terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, selaras dengan Inisiatif Keamanan Arab dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menyeru kepada penyatuan usaha serantau dan antarabangsa bagi mencapai gencatan senjata segera dan berkekalan di Gaza serta memberikan sokongan yang diperlukan kepada rakyat Palestin, sekali gus menyumbang kepada kestabilan dan keselamatan di rantau ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here