KUALA KANGSAR, 7 Okt — Penganjuran Malaysia Techlympics menjadi antara kaedah dalam memupuk minat murid dan pelajar sekolah kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kata Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata program yang melibatkan Kementerian Pendidikan serta kerajaan negeri itu turut memberikan fokus dalam mengurangkan jurang pendedahan antara murid serta pelajar di kawasan bandar dan luar bandar.

“Penganjuran Malaysia Techlympics yang diadakan secara tahunan sejak 2022 telah melibatkan sekolah-sekolah mengikut pecahan zon. 

“Kita boleh melihat ramai murid dari sekolah luar bandar. Kita beri penekanan supaya lebih seimbang dan boleh mengurangkan kesenjangan antara murid dan pelajar bandar dengan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian Karnival Minggu Sains Negara (MSN) Peringkat Negeri Perak dan Malaysia Techlympics Peringkat Zon Utara 2024 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 5,784 peserta daripada 260 buah sekolah dari Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bersaing dalam Pertandingan Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Utara.

Kemuncak itu akan berlangsung di Putrajaya pada bulan depan melibatkan zon-zon lain.

Mengulas penubuhan Jawatankuasa STEM, Lih Kang berkata ia turut melibatkan Kementerian Pendidikan selain fokus yang diberikan adalah untuk menangani penurunan pelajar dalam bidang berkenaan.

Sementara itu, MOSTI menitikberatkan program pembudayaan seperti MSN dan Malaysia Techlympics bagi menyokong sukatan pelajaran pendidikan formal sepertimana ditetapkan Kementerian Pendidikan.

“Kerjasama rapat ini amat penting untuk memupuk minat STEM dalam kalangan anak-anak kita, seterusnya melahirkan lebih ramai jurutera, saintis, pakar teknologi, pengekod dan sebagainya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here