SEREMBAN, 11 Okt –  Negeri Sembilan berpotensi tinggi untuk menjadi antara hab utama semikonduktor di Malaysia dengan perancangan dan gerak kerja yang komprehensif, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ini berikutan Negeri Sembilan mempunyai kelebihan dari segi lokasi yang strategik iaitu berada berdekatan Lembah Klang dan pintu masuk utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Pelabuhan Klang. 

Selain itu, katanya, Negeri Sembilan turut memiliki kelengkapan infrastuktur yang menjadikannya sebagai tempat yang ideal untuk menjalankan perniagaan. 

“Sebagai contoh, kita mempunyai beberapa syarikat utama dalam sektor semikonduktor yang lama bertapak di Negeri Sembilan seperti On Semiconductor, TDK-Lambda, Samsung, Nexperia dan banyak lagi.

“Ini membuktikan kepercayaan syarikat utama dunia (dalam sektor semikonduktor) untuk melabur di negara kita khususnya di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Negeri Sembilan Semiconductor Valley (NSSV), di sini, hari ini.

Aminuddin berkata beliau yakin Negeri Sembilan mampu menarik lebih banyak lagi syarikat gergasi dalam sektor semikonduktor untuk melabur di negeri ini pada masa akan datang.

Sementara itu beliau berkata NSSV dirangka untuk pembangunan teknologi yang memfokuskan kepada industri semikonduktor di Negeri Sembilan.

Menurutnya, inisiatif pembangunan itu adalah bagi meningkatkan penglibatan negeri ini dalam industri berkenaan seiring dengan strategi dan dasar Kerajaan Malaysia yang dirangka di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Master Plan – NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap – NETR). 

Beliau berkata pembangunan NSSV dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem semikonduktor yang inklusif dengan integrasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke dalam rantaian bekalan sekali gus merangsang keseluruhan industri di negeri ini.

Aminuddin berkata srategi itu bertepatan dengan perkembangan industri semikonduktor di Malaysia yang terus berkembang pesat pada tahun ini untuk memastikan negara kekal kompetitif di peringkat global.

“Sektor ini juga dianggap penting bagi rantaian bekalan global didorong oleh peningkatan permintaan cip dan kemajuan kecerdasan buatan (AI) yang pasti akan terus merangsang pertumbuhan industri semikonduktor untuk  beberapa tahun yang akan datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here