KUALA LUMPUR, 12 Okt – Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) menawarkan penubuhan pejabat keluarga tunggal atau firma pengurusan kekayaan di Malaysia pada kadar kemasukan yang lebih rendah berbanding Singapura dan negara jiran.

Ketua Deloitte Private Malaysia Chee Pei Pei berkata Forest City menjadi lokasi pertama di Malaysia yang menawarkan kadar cukai sifar peratus untuk pejabat keluarga tunggal dan ini mencerminkan langkah berani kerajaan dalam merealisasikan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI.

Katanya, hal ini seterusnya berpotensi menjadikan Forest City sebagai pusat kewangan yang diiktiraf di peringkat global, menarik bakat berkemahiran ke Malaysia sambil meningkatkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“Pejabat keluarga tunggal yang ditubuhkan di Forest City tidak akan bersaing dengan pejabat keluarga yang beroperasi dengan baik di Singapura selama lebih dari 10 tahun.

“Sebaliknya, Malaysia menawarkan pasaran khusus yang melengkapi kemudahan ditawarkan di tempat lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Chee, di samping kadar cukai sifar peratus untuk pejabat keluarga, Forest City juga dijangka menjadi pusat bagi perkhidmatan perniagaan kewangan global, teknologi kewangan (fintech) dan pengendali sistem pembayaran asing yang menawarkan kadar cukai khas sebanyak lima peratus.

“Selain itu, kadar cukai pendapatan yang dikurangkan sebanyak 15 peratus untuk profesional mahir ditetapkan untuk menggalakkan tarikan dan pengekalan bakat di rantau ini.

“Gabungan pulau bebas cukai dalam zon kewangan khas memberikan cadangan unik sebagai pemangkin pembangunan ekonomi di wilayah selatan Malaysia.

“Pengumuman itu mesra cukai kepada pelabur dan rakyat Malaysia berkemahiran tinggi yang kini bekerja di luar negara. Selain itu, terdapat juga akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan yang baik tersedia di sini,” katanya.

Chee berkata pertimbangan lain dalam menyediakan lokasi pejabat keluarga termasuk kestabilan ekonomi dan politik, rangka kerja kawal selia yang jelas dan struktur perundangan, kebolehcapaian kepada bakat dan profesional mahir, budaya, taraf hidup serta perhubungan.

“Pejabat keluarga pada asasnya ialah syarikat milik persendirian yang mengendalikan pengurusan pelaburan dan pengurusan kekayaan untuk keluarga kaya.

“Bagi yang ingin mempunyai gaya hidup sederhana dan baik untuk keluarga mereka, maka akan digalakkan untuk menubuhkan pejabat keluarga tunggal di FCSFZ,” katanya.

Chee juga berkata pejabat keluarga di Asia dengan pantas menjadi ‘gergasi’ pengurusan kekayaan.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Country Garden Malaysia bagi jenama, jualan dan pemasaran Fang Fang berkata Forest City bersedia dengan infrastruktur yang siap, menjadikannya lokasi ideal bagi mereka yang ingin melabur serta perusahaan.

Beliau berkata Forest City terdiri daripada tiga daerah perniagaan utama iaitu daerah perniagaan teras (terdiri daripada pusat kewangan Fasa 1 dan hab pengangkutan), daerah perniagaan bebas cukai (terdiri daripada jalan komersial) dan daerah komersial berasaskan komuniti (pertubuhan komersial di kawasan perumahan).

Kata Chee, antara tiga daerah perniagaan utama, Pusat Kewangan Forest City Fasa 1 adalah pilihan pertama untuk pejabat keluarga.

Menurutnya, bangunan itu diletakkan sebagai kompleks perniagaan antarabangsa dan terdapat lebih 800 ruang pejabat yang fleksibel serta 300 unit pangsapuri perkhidmatan yang tinggi, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here