BEIJING, 14 Okt – Kerjasama dengan China mampu memberi sokongan kukuh kepada Afrika untuk mewujudkan pengindustrian dan modenisasi pertanian, kata Presiden Madagascar Andry Nirina Rajoelina.

Beliau menganggap hal ini sangat signifikan bagi pembangunan Madagascar, malah seluruh Afrika.

Pada bulan September, Rajoelina telah mengadakan kunjungan ke pusat penyelidikan padi kacukan di provinsi Hunan.

Rajoelina berpendapat, hasil penyelidikan China berkenaan boleh menjana transformasi pertanian sekali gus membawa perubahan substantif kepada Madagascar.

Menurut beliau, Madagascar menduduki tempat ketiga di Afrika dalam pengeluaran padi selepas Nigeria dan Mesir. Negara itu turut menyasar menjadi ‘jelapang Afrika’.

Beliau berkata Madagascar giat mencuba menanam padi kacukan China sejak sekian lama.

“Dengan usaha itu, hasil pengeluaran padi Madagascar boleh bertambah empat kali ganda.

“Ia membuktikan kebolehlaksanaan penanaman padi kacukan itu, yang dijangka dapat membawa perubahan kepada kehidupan kaum tani malah negara kami,” ujar beliau dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG).

Rajoelina menyatakan Madagascar pernah menjadi ‘jelapang Afrika’ pada tahun 1980-an dan mengeksport beras kepada negara jiran. Namun selepas itu, keluasan penanaman padi tidak bertambah akibat teknologi berkenaan gagal dimajukan.

“Kini kami mempunyai tanah suai tani seluas 1.9 juta hektar, selain 36 juta hektar tanah yang sesuai untuk penanaman padi.

“Matlamat kami adalah membawa perubahan kepada negara melalui usaha memajukan penanaman padi,” kata beliau.

Rajoelina yakin bahawa dengan memanfaatkan ilmu, teknologi, mekanisasi serta benih berkualiti tinggi dari China, Afrika mampu membekalkan bahan makanan untuk seluruh dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here