PUTRAJAYA, 15 Okt – Semua pihak perlu bersama-sama memfokuskan kepada kesiapsiagaan di sepanjang rantaian makanan dalam menghadapi perkara luar jangka yang boleh menjejaskan keselamatan makanan negara, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Berucap pada Persidangan Keselamatan Makanan Kebangsaan 2024 di sini hari ini, beliau berkata inisiatif itu bertepatan dengan tema Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2024 iaitu Food Safety : Prepare for the Unexpected.

Justeru, beliau berkata Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) adalah penting dalam menjamin kesihatan rakyat. 

“PKKM adalah first gatekeeper for food safety (yang menjaga keselamatan makan) untuk memastikan pengguna sentiasa mendapat makanan selamat dan berkualiti. 

“Kita tidak boleh sentiasa berada dalam krisis, contohnya keracunan makanan yang sering memangsakan anak-anak kita di sekolah akibat patogen seperti salmonella. Berapa kali lagi insiden seperti ini harus berulang?”

“Selain daripada keselamatan, kualiti makanan juga perlu dijaga jika kita mahu pastikan rakyat selamat daripada bukan sahaja penyakit berjangkit namun penyakit tidak berjangkit dan malnutrisi,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya melalui PKKM akan terus menerajui dan memperkukuhkan kawalan keselamatan makanan negara bersama semua pihak berkepentingan bagi memastikan rakyat Malaysia terus menikmati makanan yang selamat dan berkualiti. 

Menurut kenyataan itu, KKM akan terus menganjurkan pelbagai program berimpak tinggi bagi memastikan kelestarian pengetahuan dan kesedaran berkaitan keselamatan makanan kepada semua pihak berkepentingan. 

“Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama. Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan ‘perhati dan pilih serta lihat, hidu dan rasa’ kerana ia langkah paling mudah untuk mencegah keracunan makanan,” menurut kenyataan itu.

Persidangan Keselamatan Makanan Kebangsaan 2024 yang dianjurkan oleh International Food Safety Training Centre melalui PKKM, dengan kerjasama Persatuan Keselamatan Makanan Malaysia berlangsung selama dua hari hingga esok dan menghimpunkan lebih 500 peserta terdiri daripada pihak industri, organisasi kerajaan dan bukan kerajaan, akademia, dan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here