PHNOM PENH, 16 Okt – Malaysia dan Kemboja memanfaatkan “soft power” kebudayaan termasuk muzik, tarian dan kesenian untuk memperkukuh hubungan dua hala, sekali gus membuka dimensi baharu dalam memperkasa dasar luar kedua-dua negara.

Kedua-dua negara yang kaya dengan identiti budaya tersendiri ini komited untuk mempromosikan ikatan budaya sebagai usaha memupuk keamanan dan kestabilan di rantau ini.

Kedutaan Malaysia di Phnom Penh menekankan betapa pentingnya “soft power”, yang menjadi tunjang dalam hubungan antarabangsa menerusi penganjuran “Malam Kebudayaan Malaysia” pada Isnin.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Shaharuddin Onn menjelaskan bahawa diplomasi budaya memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara yang berkongsi kepentingan nasional yang sama.

“Saya percaya bahawa inisiatif seperti acara kebudayaan ini akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan Kemboja untuk lebih mengenali budaya masing-masing.

“Ini adalah aspek hubungan antara rakyat yang, pada hemat saya sama pentingnya dengan hubungan antara kerajaan dan perniagaan. Acara ini memberi peluang dalam memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap budaya tradisional Malaysia dan Kemboja,” kata Shaharuddin.

Menteri Kebudayaan dan Seni Halus Kemboja, Phoeurng Sackona yang menjadi tetamu kehormat acara itu berkata bahawa acara kebudayaan ini berfungsi sebagai platform untuk memperkukuh kerjasama sambil mencerminkan hubungan diplomatik yang kukuh dan berterusan antara kedua-dua negara sejak 1957.

“Persembahan malam ini melambangkan identiti budaya yang hebat dari negara masing-masing dan menunjukkan bagaimana budaya dan seni merentasi sempadan dalam memupuk perpaduan.

“Kemboja komited sepenuhnya untuk memperkukuh hubungan budaya dengan Malaysia. Dengan Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN, kami teruja untuk bekerjasama dalam inisiatif budaya yang bukan sahaja menonjolkan warisan bersama tetapi juga meningkatkan potensi kreatif rantau ini.

“Kementerian Kebudayaan dan Seni Halus menyokong penuh inisiatif Malaysia untuk mempromosikan budaya dan industri seni ASEAN yang pelbagai, serta memperkukuh identiti ASEAN,” katanya.

Walaupun musim tengkujuh melitupi langit malam Phnom Penh, penggiat seni Malaysia berjaya memukau penonton dengan persembahan tradisional “Makyong” dan “Zapin”.

Sementara itu, Kemboja menampilkan persembahan yang tidak kurang hebatnya menerusi drama tarian “Mani Mekhala” dan “magic scarf”, membuktikan bahawa diplomasi budaya terus memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan antara kedua-dua negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here