KUALA LUMPUR, 19 Okt – Berikut adalah inti pati Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Parlimen hari ini.

Belanjawan 2025 melibatkan peruntukan RM421 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah diumumkan dengan RM335 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM86 bilion bagi belanja pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

  • Cukai Jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat.
  • Kerajaan akan terus tanggung subsidi yang dianggar berjumlah RM12 bilion untuk keperluan 85 peratus rakyat.
  • Kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025.
  • RM27 juta disediakan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk terus memecahkan penguasaan kartel.
  • RM60 juta disediakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk banteras ketirisan wang rakyat.
  • Kerajaan MADANI menunaikan kesepakatan pemimpin terdahulu terkait Perjanjian Malaysia 1963, Sabah dan Sarawak diberi perhatian khusus.
  • Peruntukan pembangunan untuk Sabah RM6.7 bilion, Sarawak RM5.9 bilion.
  • Mulai 2025, kerajaan bercadang menaikkan kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah sekali ganda kepada RM600 juta.
  • Peruntukan SPRM ditingkatkan kepada RM360 juta ketimbang RM338 juta.
  • Belanjawan 2025 meningkatkan peruntukan Parlimen kepada RM180 juta ketimbang RM166 juta.
  • Lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula, kerajaan akan membentuk Pasukan Reformasi Perundangan.
  • Lebih RM60 juta disediakan bagi menaik taraf prasarana kehakiman termasuk pembangunan sistem e-Kehakiman.
  • Rang Undang-undang Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam akan digubal meliputi tiga anjakan besar: mengurangkan birokrasi, mempercepat proses dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
  • RM25 juta disediakan kepada Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR).
  • Saluran berpusat akan dibentuk di UTC bagi membantu rakyat susah memohon bantuan merentasi pelbagai agensi.
  • Semua UTC akan dibekalkan dengan Sistem Penggiliran (QMS) supaya rakyat mendapat nombor giliran secara dalam talian.
  • Ikhtiar Kiosk Sentuhan MADANI akan dilaksanakan di kawasan tumpuan ramai.
  • Perkhidmatan bergerak terus diperbanyak dengan peruntukan RM100 juta.
  • Peruntukan keseluruhan RM1 bilion disediakan untuk Ikhtiar Sejati MADANI.
  • Sebanyak 64 daripada 126 pejabat luar negara tidak beroperasi bawah satu bumbung, kerajaan putuskan operasi dipindahkan ke Pejabat Canseri atau digabungkan.
  • Semua ruang dan bangunan kosong milik agensi kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dimanfaatkan untuk tujuan prasekolah.
  • Sebahagian hasil penjualan nombor plat khas disalurkan untuk membantu rakyat susah termasuk menampung bayaran mendapatkan lesen motosikal 15,000 anak muda kurang mampu.
  • Peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan terus diperhebat dengan peruntukan RM20 juta.
  • Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian akan digubal bagi mengekang buli siber .
  • Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan diberi tambahan perjawatan seramai 100 orang dengan tambahan peruntukan RM10 juta.
  • RM150 juta disalurkan segera kepada Pihat Berkuasa Tempatan dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai bagi mengatasi banjir kilat.
  • RM600 juta disediakan untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai persiapan mendepani musibah banjir.
  • RM20 juta geran padanan disediakan segera kepada Yayasan GLIC dan GLC untuk memperhebat respons dan penyaluran bantuan kepada mangsa di kawasan terjejas banjir.
  • Hampir RM550 juta disediakan bagi mempergiat promosi dan aktiviti pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
  • Khazanah menyediakan RM600 juta bagi memelihara Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya dan kreatif.
  • Semua kementerian dan jabatan yang terlibat dengan penganjuran mesyuarat dan aktiviti sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 hendaklah memperoleh kraf tangan daripada pengusaha tempatan.
  • RM300 juta disediakan bagi menjalin kerjasama projek pertanian dengan kerajaan negeri, menokok berbanding RM150 juta tahun ini.
  • RM27 juta disediakan sebagai insentif kepada petani dan penternak untuk meningkatkan pengeluaran.
  • RM2.78 bilion disediakan sebagai subsidi, bantuan dan insentif untuk pesawah dan nelayan, meningkat berbanding RM2.6 bilion.
  • Kadar siling bantuan bina baharu atau penempatan semula rumah nelayan dinaikkan kepada RM84,000 untuk Semenanjung dan RM90,000 untuk Sabah dan Sarawak.
  • Juruadit halal JAKIM ditambah 100 orang ke arah mempercepatkan urusan pengeluaran sijil halal.
  • RM130 juta disediakan khusus untuk melaksanakan pelbagai program termasuk pembiayaan perniagaan komuniti India.
  • RM100 juta disediakan untuk menjamin keselesaan serta keselamatan  warunbg, gerai dan pasar.
  • 20 hektar daripada pembangunan projek strategik Bandar Malaysia diperuntukkan sebagai Tanah Rizab Melayu.
  • 4.1 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan, tahun depan.
  • Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKAD penerima bermula April 2025, kategori bujang terima RM600.
  • Kadar Bantuan Warga Emas dinaikkan kepada RM600 sebulan berbading RM500 ringgit.
  • Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin bagi anak berusia 6 tahun dan ke bawah dinaikkan kepada RM250 ringgit seorang, RM200 seorang bagi linkungan 7 hingga 18 tahun.
  • Kadar Bantuan Am dinaikkan kepada RM150 dengan kadar maksimum sekeluarga sebanyak RM500.
  • Bayaran bagi STR 2024 Fasa 4 akan disalurkan kepada penerima bermula 7 November depan melibatkan peruntukan RM1.7 bilion.
  • Sejumlah RM1 bilion disediakan untuk menganjurkan ikhtiar menangani kos sara hidup dengan lebih meluas.
  • Selain itu, RM250 juta disediakan bagi mengedarkan barangan keperluan asas di kawasan pedalaman dan desa.
  • Pelepasan cukai pendapatan individu ke atas bayaran premium insurans pendidikan dan insurans perubatan dinaikkan kepada RM4,000.
  • Pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan perubatan sehingga RM10,000.
  • Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.
  • Penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh 6 bulan.
  • Dasar Gaji Progresif diperuntukkan RM200 juta dan akan memanfaatkan 50,000 pekerja.
  • RM250 juta disediakan untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program IPR bagi menambah pendapatan.
  • Program i-Suri diteruskan secara insentif padanan melalui caruman Kerajaan dan caruman secara aktif daripada pencarum.
  • Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri akan menanggung sehingga 70 peratus caruman pekerja dengan peruntukan RM100 juta.
  • Kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara untuk mencarum KWSP.
  • Kementerian Pendidikan diberi peruntukan RM64.1 bilion, berbanding RM58.7 bilion tahun ini, peruntukan tertinggi dalam sejarah.
  • RM2 bilion disediakan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara.
  • Sebanyak 44 sekolah baharu mula dibina tahun hadapan.
  • RM100 juta diperuntuk untuk Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke Sekolah-sekolah Luar Bandar.
  • 17 jenis bantuan pendidikan terus disediakan dengan peruntukan RM5.3 bilion.
  • Peruntukan khas RM10 juta disediakan sebagai Bantuan Persekolahan kepada semua 687 sekolah pedalaman.
  • Elaun Sara Hidup bagi siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru ditingkatkan kepada RM530 sebulan.
  • Kementerian Pendidikan Tinggi diperuntukkan RM18 bilion, berbanding RM16.3 bilion tahun ini.
  • Pelepasan cukai individu ke atas simpanan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dilanjutkan untuk tempoh 3 tahun lagi.
  • RM635 juta disediakan untuk menambah baik prasarana, mengganti peralatan usang dan meluas capaian internet di semua universiti awam.
  • Pendidikan berkaitan AI akan diperluas ke semua universiti penyelidikan dengan peruntukan RM50 juta.
  • Kerajaan meningkatkan peruntukan TVET kepada RM7.5 bilion berbanding RM6.8 bilion.
  • Majikan yang mengambil OKU dan bekas banduan bekerja akan diberi insentif sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan di bawah seliaan PERKESO.
  • Kementerian Kesihatan menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM45.3 bilion ringgit berbanding RM41.2 bilion.
  • Kerajaan bercadang menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari 2025 sebanyak 40 sen seliter.
  • Kerajaan menyediakan peruntukan RM100 juta termasuk untuk perolehan peralatan terkini, bagi mengukuhkan Pusat-pusat Kecemerlangan yang dikenal pasti.
  • Hampir RM900 juta bagi melaksanakan 48 Program Residensi Rakyat (PRR) dan 14 projek Rumah Mesra Rakyat.
  • Pelepasan cukai individu sehingga RM7,000 ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan bagi menggalakkan pemilikan rumah pertama.
  • Prasarana asas di kawasan kampung, desa dan pedalaman terus ditumpukan bagi memberi keselesaan kepada rakyat dengan peruntukan hampir RM2.9 bilion.
  • Pas Bulanan My50 diteruskan bagi manfaat 180,000 pengguna Lembah Klang menggunakan bas dan rel Prasarana.
  • Prasarana akan menyediakan kemudahan van untuk anak-anak ke sekolah daripada stesen tren terpilih dengan bayaran 50 sen sehala.
  • RM2.8 bilion disediakan untuk menyelenggara Jalan Persekutuan.
  • Potongan cukai tambahan 50 peratus bagi penggajian yang dibayar untuk tempoh 12 bulan, kepada majikan yang menggaji wanita kembali bekerja.
  • Program Rakan Muda diperuntukkan RM25 juta untuk terus menjadi wadah pembinaan potensi dan identiti belia berjati diri.
  • Kerajaan menyediakan RM5 juta untuk melaksanakan Ikhtiar 1,000 Hari Pertama Kehidupan bagi mengurangkan risiko dijangkiti Hepatitis B dalam kalangan bayi baru lahir.
  • Kerajaan akan membina 34 prasekolah, 16 taska dan Tabika Kemas 
  • Pelepasan cukai pendapatan individu ke atas bayaran yuran TASKA dan TADIKA dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2027.
  • 11 Pusat PERMATA baharu akan dibina bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anakanak autistik.
  • Elaun Murid Berkeperluan Khas RM150 sebulan juga terus disediakan kepada lebih 110,000 murid OKU.
  • Had pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan dan pemulihan anak autisme akan ditingkatkan kepada RM6,000 ringgit.
  • Peruntukan kebajikan warga emas akan ditingkatkan mencecah RM1 bilion bagi membiayai bantuan tunai, wang saku institusi warga emas dan pusat aktiviti.
  • Peruntukan bantuan OKU di bawah JKM ditingkatkan kepada RM1.3 bilion berbanding RM1.2 bilion.
  • Masyarakat Orang Asli terus terbela di bawah Belanjawan MADANI dengan peruntukan ditingkatkan hampir RM380 juta, berbanding RM330 juta.
  • RM10 juta untuk menjayakan program Program Peluang Kedua (PEKA) bagi mengembalikan banduan ke dalam masyarakat.
  • Kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
  • Kerajaan menyediakan tambahan RM25 juta kepada Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menguruskan anak-anak yang teraniaya serta melaksanakan program pemulihan akidah susulan Ops Global.
  • Tahun hadapan, peruntukan hal ehwal Islam berjumlah RM2 bilion.
  • Kerajaan bersetuju menambah kuota guru KAFA sebanyak 1,500 orang, selari dengan tuntutan pendidikan fardu ain untuk anak-anak.
  • Kerajaan bersetuju menyalurkan sumbangan khas RM500 sebagai menghargai sumbangan besar lebih 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut.
  • Pembangunan sukan negara terus diperhebat dengan peruntukan lebih RM230 juta.
  • RM15 juta disediakan kepada Pasukan Harimau Malaya, Pasukan bawah 18 dan bawah 13 dengan kerjasama FAM bagi menyokong pembangunan sukan bola sepak.
  • Peruntukan RM1 juta kepada pembangunan sukan kriket, RM20 juta untuk memperkasa ekosistem e-sukan.
  • Penganjuran program-program pemupukan semangat perpaduan serta jati diri  diperbanyak dengan peruntukan RM50 juta.
  • RM50 juta dana bantuan bagi kerja-kerja baik pulih dan selenggara rumah ibadat bukan Islam berdaftar di seluruh negara.
  • RM50 juta untuk Dewan Bahasa dan Pustaka bekerjasama dengan penggiat bahasa bagi  mempergiat aktiviti bahasa dan kesusasteraan.
  • Peruntukan Dana Kandungan Digital ditingkatkan kepada RM65 juta bagi mempromosi karya-karya terutama yang berteraskan semangat kenegaraan.
  • Hampir RM40 juta disediakan di bawah Insentif Filem di Malaysia (FIMI) bagi menyokong penerbitan filem antarabangsa di Malaysia.
  • RM25 juta untuk MyCreative Ventures bagi menyokong industri kreatif.
  • Program Belia Kreatif MADANI akan dianjurkan bagi menarik hampir 16,000 anak muda menceburi bidang seni dengan peruntukan RM30 juta.
  • Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima peruntukan RM19.5 bilion, menokok sebanyak RM500 juta.
  • Lebih RM2.12 bilion peruntukan aset khusus untuk PDRM dan agensi beruniform di bawah KDN bagi menjamin keselamatan dalam negeri.
  • Kementerian Pertahanan menerima peruntukan RM21.2 bilion.
  • Sejumlah RM560 juta disediakan untuk memperkasa sempadan negara.
  • Pembangunan pekan-pekan bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia dan Selatan Thailand  dengan peruntukan hampir RM1 bilion.
  • RM5 juta disediakan bagi membekalkan air bersih secara hibrid menggunakan air hujan dan air bawah tanah di kawasan ESS Zone, Sabah.
  • Kementerian Kesihatan akan melaksanakan sistem kerja baharu di hospital dan klinik kesihatan secara bersasar.
  • Elaun Tugas Atas Panggilan dinaikkan antara RM55 hingga RM65 kepada Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian mengikut bidang perkhidmatan dan Jabatan.
  • Lebih RM1.8 bilion disediakan bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera.
  • LPPSA akan memperkenalkan Skim Pembiayaan Perumahan Muda untuk penjawat awam muda memohon pembiayaan perumahan sehingga 40 tahun.
  • Skim Ex-Gratia Bencana Kerja akan diperluas dan dipermudah.
  • Kadar Bantuan Sara Hidup untuk veteran ATM tidak berpencen dinaikkan kepada RM500 sebulan.
  • Kerajaan akan menganjurkan Anugerah Perkhidmatan Awam MADANI sebagai tanda pengiktirafan dengan pemberian ganjaran yang sewajarnya.
  • Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM250 kepada semua pesara kerajaan, diberi pada Feb 2025.
  • Menteri-menteri serta lantikan politik terus membuat pemotongan 20 peratus gaji, Perdana Menteri tidak akan menerima gaji.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here