NEW DELHI, 20 Okt – Malaysia dan Bangladesh perlu giat memperkukuh kerjasama perdagangan dan diplomasi ekonomi, di samping mempertingkat hubungan mesra sedia ada.

Gesaan ini dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh yang bakal tamat tempoh perkhidmatannya, Haznah Md Hashim.

Beliau berkata Malaysia dan Bangladesh berkongsi hubungan ekonomi yang kukuh, ikatan budaya yang mendalam serta kerjasama erat dalam forum pelbagai hala.

“Selain memperkukuh dan meningkatkan hubungan mesra sedia ada antara kedua-dua negara, saya melihat perlunya usaha yang aktif dalam kerjasama perdagangan dan diplomasi ekonomi.

“Oleh itu, matlamat utama saya adalah untuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh, Dr Muhammad Yunus bersetuju untuk bergerak ke arah ini.

Mengenai usaha Bangladesh untuk menjadi Rakan Dialog Sektoral bagi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Haznah berkata Malaysia menyokong idea itu.

“Bangladesh mempunyai banyak potensi berikutan lokasinya yang berada di tengah-tengah dua rantau — Asia Tenggara dan Asia Selatan,” katanya.

Dengan Bangladesh sebagai anggota Persatuan Kerjasama Serantau Asia Selatan (SAARC) dan ‘the Bay of Bengal Initiative for Multi-Sectoral Technical and Economic Cooperation (BIMSTEC)’, penglibatannya yang lebih luas dengan ASEAN akan memperkukuh kerjasama rentas rantau.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025 juga menjangkakan kerjasama lebih erat dengan Bangladesh dalam menangani isu Rohingya.

“Memandangkan Malaysia turut terkesan secara langsung oleh krisis Rohingya, ia akan menjadi antara keutamaan ASEAN semasa Malaysia menjadi pengerusi pada 2025.

“Saya percaya kerjasama rapat dengan Bangladesh dalam perkara ini amat dinantikan dan dialu-alukan,” katanya.

Sementara itu, Haznah berkata sebagai anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Kumpulan Lapan Negara-Negara Membangun (D-8), Malaysia dan Bangladesh menonjolkan penglibatan mereka di platform global dan dalam hal ehwal antara negara Islam.

Malaysia dan Bangladesh sentiasa mengoptimumkan kehadiran dan keahlian mereka dalam organisasi-organisasi ini untuk memperkukuh hubungan dua hala, meningkatkan perdagangan serta menyuarakan isu global seperti penderitaan rakyat Palestin dan Rohingya, katanya.

Sejak penubuhan hubungan diplomatik pada 31 Jan 1972, Haznah berkata Malaysia dan Bangladesh menyaksikan pertumbuhan hubungan yang pesat, terutamanya dalam dekad yang lalu.

Bangladesh merupakan rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan destinasi eksport ke-20 terbesar negara ini.

Dalam kalangan negara Asia Selatan, Bangladesh adalah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan beberapa syarikat Malaysia melabur di negara yang mempunyai lebih 170 juta penduduk itu.

Sektor makanan menawarkan peluang penting untuk kerjasama masa depan Malaysia-Bangladesh, kata Haznah sambil menekankan beberapa persamaan masakan antara kedua-dua negara.

“Terdapat persamaan yang jelas dari segi gastronomi kami, di mana herba dan rempah adalah penting. Ini membuka peluang kerjasama antara Malaysia dan Bangladesh dalam bidang pemprosesan dan pengeluaran makanan, serta industri halal,” katanya.

Sementara itu, Haznah menggambarkan penempatannya di Dhaka sebagai “pengalaman paling berharga” dalam semua tugasan luar negaranya sambil mengenang peristiwa penting yang berlaku sepanjang berada di sana.

Tempoh awal penuh dengan cabaran akibat pandemik COVID-19, namun beliau melahirkan rasa gembira kerana hubungan Malaysia-Bangladesh berkembang dengan pesat.

Beliau menekankan kerjasama Malaysia-Bangladesh selepas pandemik, yang menghasilkan aktiviti perdagangan dan perniagaan baharu termasuk dalam pelancongan perubatan, pendidikan dan sektor telekomunikasi.

Haznah menyifatkan protes baru-baru ini dan pembentukan kerajaan sementara yang diketuai oleh Yunus sebagai “peristiwa bersejarah yang belum pernah berlaku”.

Yunus memegang jawatan Ketua Penasihat, yang setara dengan perdana menteri dalam pentadbiran baharu itu.

Dalam pada itu, Haznah berkata lawatan Anwar ke Dhaka pada 4 Okt, yang merupakan lawatan pertama oleh mana-mana ketua kerajaan sejak pentadbiran sementara ditubuhkan pada Ogos, adalah cerminan hubungan sejarah rapat antara kedua-dua negara.

“Saya percaya kekuatan utama hubungan Malaysia-Bangladesh adalah kerana kedua-dua negara berkongsi identiti sebagai negara majoriti Muslim,” katanya.

Beliau meninggalkan Bangladesh pada Jumaat setelah tamat tempoh perkhidmatannya selama empat tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here