MADRID, 21 Okt – Kira-kira 10,000 orang turun ke jalanan di Kepulauan Canary dalam demonstrasi menentang pelancongan besar-besaran.
Protes di kepulauan peranginan Sepanyol itu diadakan susulan demonstrasi pada April yang menyaksikan lebih 55,000 orang turun ke jalan raya, menurut angka daripada pegawai.
Kepulauan itu merupakan destinasi percutian popular dalam kalangan pelancong Eropah pada musim sejuk, terutamanya kerana kedudukannya di luar pantai barat laut Afrika.
Demonstrasi terbaharu diadakan di pusat peranginan Maspalomas di Gran Canaria, Tenerife, Fuerteventura, Lanzarote, La Palma, dan El Hierro, serta beberapa tempat lain.
Peserta membawa sepanduk dengan slogan yang bermaksud “Kami adalah orang asing di negara kami” atau “Kepulauan Canary bukan taman tema.”
Penganjur mengutuk model pembangunan sektor pelancongan yang didakwa sebagai “tidak adil dan tidak mampan”, menurut Europapress.
Tanah Besar Sepanyol turut menyaksikan protes besar-besaran pada musim bunga dan musim panas serta di kepulauan Balearic Mallorca.
Industri pelancongan menyumbang hampir 14 peratus daripada keluaran ekonomi Sepanyol. Di Kepulauan Canary, ia menyumbang sebanyak 35 peratus, manakala di Mallorca mencecah 45 peratus.