ANKARA, 23 Okt – Harga minyak turun pada Selasa di tengah-tengah kebimbangan bahawa pakej insentif terkini China mungkin tidak mencukupi untuk memulihkan aktiviti ekonomi, manakala konflik yang berterusan di Timur Tengah menahan penurunan harga daripada berterusan, lapor Agensi Anadolu.

Minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa, susut 0.3 peratus kepada US$73.52 setong pada 10:07 pagi waktu tempatan (0707 GMT), turun daripada penutupan sesi sebelumnya iaitu US$73.74. Penanda aras Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI) juga merosot 0.3 peratus, diniagakan pada US$69.50 setong, berbanding US$69.75 pada sesi terdahulu.

Awal bulan ini, China, pengimport minyak terbesar di dunia mengumumkan pakej rangsangan yang bertujuan untuk menangani isu-isu yang berterusan dalam sektor hartanah. Walau bagaimanapun, pakar percaya langkah-langkah berkenaan gagal memenuhi jangkaan sektor itu. Kerajaan memperkenalkan pengurangan 25 mata asas dalam kadar faedah pinjaman setahun dan lima tahun, yang menjadi penanda aras bagi pinjaman korporat dan hartanah.

Penguncupan dalam pasaran hartanah dan perumahan China – kedua-duanya penting bagi pertumbuhan ekonomi – telah memberi kesan kepada harga minyak, dengan penganalisis meramalkan permintaan yang lebih rendah dari negara itu.

Kesan rangsangan terhadap pemulihan sektor itu akan menjadi lebih jelas apabila data muncul dalam beberapa bulan akan datang, walaupun cabaran kekal sebagai kebimbangan utama bagi ekonomi China.

Kebimbangan terhadap peperangan serantau yang lebih luas di Timur Tengah dan berpotensi mengganggu laluan bekalan minyak utama terus mengehadkan penurunan harga minyak yang lebih besar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here