KUALA LUMPUR, 24 Okt – Sejumlah 1,254 permohonan diterima daripada calon berminat mengisi kekosongan jawatan di Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) yang akan dilancarkan hujung tahun ini.

Kementerian Digital menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan selepas penutupan iklan kekosongan jawatan di NAIO pada 13 Okt lepas, pihaknya menerima permohonan bagi mengisi kekosongan jawatan penting seperti Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah Dasar Kecerdasan Buatan (AI) dan Pengarah AI Innovation Exchange.

“Perkara ini sekali gus akan dapat memastikan calon berkelayakan dan berpengalaman luas dalam bidang AI akan dilantik demi memastikan pembangunan dalam aspek dasar dan inovasi AI di Malaysia akan berada pada landasan sewajarnya,” menurut jawapan bertulis itu.

Kementerian Digital menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) yang ingin tahu tahap keupayaan AI dalam kalangan rakyat Malaysia dan perancangan kementerian dalam menangani implikasi etika, undang-undang, ekonomi dan sosial berkaitan AI serta alat yang dikuasakan AI untuk sektor penting negara.

Bagi menangani implikasi etika, undang-undang, ekonomi dan sosial berkaitan AI, kementerian itu memaklumkan kerajaan telah mengambil pelbagai langkah proaktif melalui penyediaan persekitaran dan ekosistem yang menyokong reka bentuk dan pembangunan AI secara beretika serta bertanggungjawab.

Kementerian Digital berkata ini termasuk penubuhan NAIO yang berupaya meningkatkan keupayaan AI negara dengan memupuk inovasi, mempromosikan kerjasama merentas sektor serta menyokong integrasi AI ke dalam rangka kerja kerajaan, industri dan masyarakat.

“Selain itu, NAIO akan turut menerajui inisiatif yang memanfaatkan AI untuk mengukuhkan ekonomi digital, meningkatkan perkhidmatan awam dan menyumbang kepada pembangunan yang mampan,” menurut kementerian itu.

Dalam pada itu, Kementerian Digital berkata kedudukan Malaysia di tangga ke-23 dalam kalangan 193 negara dengan skor 68.71 iaitu kelompok 15 peratus yang terbaik di dunia, menurut Government AI Readiness Index 2023 yang diterbitkan Oxford Insights menunjukkan Malaysia setanding negara maju seperti Korea Selatan, Australia dan Ireland.

“Prestasi ini jauh lebih tinggi daripada purata bagi negara-negara berpendapatan menengah atas iaitu 43.69. Hal ini membuktikan usaha yang telah diambil oleh kerajaan dalam meningkatkan kemampuan teknologi, infrastruktur dan data membuahkan hasil positif,” menurut jawapan bertulis itu.

Menurut kementerian itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah melancarkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE) pada 20 Sept lepas.

“Garis Panduan yang turut sama dimurnikan kementerian ini akan melihat ekosistem AI secara menyeluruh meliputi pengguna, penggubal polisi kerajaan/agensi/organisasi/institusi, pereka dan penyedia serta pembekal teknologi.

“… supaya ia mematuhi nilai-nilai sosial dan etika serta kebijakan yang ada bagi memastikan teknologi AI digunakan untuk kesejahteraan umum tanpa mengabaikan hak kemanusiaan serta keamanan individu,”  menurut jawapan bertulis berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here