KATHMANDU, 24 Okt – Kerajaan Nepal mengharamkan penggunaan botol plastik di hotel bertaraf empat bintang dan ke atas.

“Larangan ini terpakai kepada semua hotel bertaraf empat bintang, lima bintang, lima bintang deluxe serta hotel dan tempat peranginan mewah,” kata Narayan Prasad Regmi, ketua pengarah di Jabatan Pelancongan.

Agensi itu mengeluarkan arahan pada Selasa yang mengarahkan hotel dan tempat peranginan terkemuka agar menghentikan penyajian air dalam botol plastik dan menggantikannya dengan botol kaca serta perkakas logam.

“Memandangkan wujud bahaya kepada kesihatan dan kebimbangan kesan terhadap alam sekitar, arahan ini dikeluarkan,” kata Regmi kepada Xinhua.

Beliau berkata agensi itu merancang untuk memperluas larangan berkenaan kepada hotel dan tempat peranginan lain dalam beberapa hari akan datang selepas berunding dengan pihak berkepentingan.

Persatuan Hotel Nepal yang mewakili lebih 300 hotel, tempat peranginan dan rumah tamu di Nepal, mengumumkan pada Jun 2022 semua jenis produk plastik seperti botol plastik, penyedut minuman, pinggan, pengacau minuman, kutleri, berus gigi dan sikat, antara lain, akan diharamkan di semua pertubuhan ahlinya mulai 1 Jan 2025.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here