KUALA LUMPUR, 26 Okt – Seorang pakar sumber manusia mencadangkan supaya cuti kesihatan mental mandatori, atau cuti tekanan perlu dimasukkan dalam pindaan Akta Kerja 1955 yang akan datang, sama seperti peruntukan untuk cuti sakit.
Pengarah Urusan Perundingan Latihan Sumber Manusia Quantum Inno Creat Sdn Bhd (QIC) Dinesh Sekhar turut menekankan keperluan garis panduan yang jelas untuk menangani gangguan, atau keadaan di tempat kerja yang memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental pekerja.
Dalam cadangan perubahan kesihatan mental yang perlu dimasukkan ke tempat kerja hari ini, beliau berkata kesihatan mental yang terdiri daripada perasaan psikologi kebimbangan pekerjaan, kemurungan dan tekanan harus ditangani secara positif oleh majikan dan pekerja.
“Landskap di tempat kerja hari ini telah melepasi era ketika isu kesihatan seperti itu pernah diabaikan atau ‘disapu di bawah karpet’.
“Mereka mesti menangani isu kesihatan yang sebelum ini dianggap tabu dengan tegas dan berkesan, katanya dalam kenyataan yang memuji komen terbaharu Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani, yang baru-baru ini menggesa perubahan dan pindaan tambahan terhadap Akta Kerja 1955 untuk memasukkan elemen kesihatan mental.
Dinesh yang menyambut baik cadangan berkenaan berkata ia hadir tepat pada masanya selepas perubahan drastik yang mengganggu tempat kerja setelah COVID-19. Tambahan pula “Hari Kesihatan Mental Sedunia” disambut pada Oktober.
Beliau berkata dalam kalangan golongan muda negara, kira-kira satu juta rakyat Malaysia atau 4.6 peratus daripada penduduk semasa berumur 15 tahun ke atas sedang mengalami kemurungan.
Malah, ia turut menjejaskan kanak-kanak iaitu 16.5 peratus daripada golongan berumur lima hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental.
Apabila dunia perniagaan Malaysia bertambah baik, dengan semakin ramai orang kembali bekerja secara fizikal, tuntutan di tempat kerja menjadi lebih agresif.
Oleh itu, perubahan pada Akta Kerja 1955 ini berpotensi menangani isu mental dan psikologi yang berkembang di tempat kerja dengan penuh cabaran pada hari ini melalui pendekatan yang jujur dan positif.
Dinesh menyeru para majikan agar lebih peka, berwaspada dan bertanggungjawab terhadap keadaan fizikal serta psikologi setiap pekerja dengan menggunakan pendekatan yang berperikemanusiaan.
Beliau berkata teknologi dan aplikasi moden yang bertujuan untuk menjadikan kehidupan lebih teratur dan mudah, sebaliknya meningkatkan trauma emosi dan psikologi pada kadar luar biasa.
Dinesh berkata apabila otak sentiasa didorong ke tahap maksimum sehingga menyebabkan gejala seperti tekanan, ia akan berjangkit kepada setiap aktiviti lain, dan apabila ia menjadi tidak tertanggung, ia membawa kepada kemurungan.
“Penyelesaian untuk penyakit ini boleh didapati melalui program terbaru QIC iaitu ‘Technology Detox’, yang membantu menangani tekanan gaya hidup dalam persekitaran kerja,” kata Dinesh.